KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus memperkukuh komitmen dalam memastikan kebajikan bekas atlet kebangsaan sentiasa diberi perhatian menerusi kerjasama strategik Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).
Usaha berterusan itu diterjemahkan melalui pelaksanaan program Ziarah Kasih terhadap bekas atlet renang para negara, Koh Lee Peng, yang turut disertai Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol, hari ini.
Program berkenaan bukan sahaja bertujuan meninjau keadaan semasa bekas atlet terbabit, malah menjadi platform penting bagi memastikan setiap bentuk bantuan dan sokongan yang disalurkan kerajaan terus memenuhi keperluan semasa golongan atlet selepas persaraan.
Koh Lee Peng merupakan antara atlet para negara yang pernah mengharumkan nama Malaysia apabila meraih tiga pingat emas pada temasya Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2021 dan kini terus menerima pemantauan serta bantuan kebajikan daripada YAKEB.
Menurut Mordi, kebajikan atlet, termasuk selepas persaraan, kekal menjadi keutamaan KBS selaras usaha memastikan jasa dan pengorbanan mereka terus dihargai.
“KBS akan terus memperkukuh kerjasama dengan YAKEB bagi memastikan penyelarasan bantuan dapat dilaksanakan secara lebih cekap, sistematik dan menyeluruh merangkumi aspek kebajikan, kesihatan serta kelangsungan hidup bekas atlet.
“Ini bukan sekadar bantuan kebajikan semata-mata, tetapi tanda penghargaan negara ke atas jasa dan pengorbanan mereka yang pernah membawa nama Malaysia ke persada dunia,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa YAKEB memainkan peranan penting sebagai institusi kebajikan utama dalam menyelaras bantuan kepada bekas atlet yang berdepan cabaran kesihatan, kewangan dan kehidupan selepas menamatkan karier sukan.



