ARTIKEL

Penyokong melepaskan rindu menyaksikan Kuching City FC kembali beraksi di laman sendiri.

KCFC kembali beraksi di laman sendiri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerinduan penyokong menyaksikan Kuching City FC (KCFC) beraksi di laman sendiri akhirnya terubat apabila pasukan itu kembali ke Stadium Taha Ariffin bagi aksi persahabatan menentang Sabah FC, malam ini.

Perlawanan yang dijadualkan bermula 7.30 malam itu menjadi penampilan pertama KCFC di stadium berkenaan selepas lebih sebulan mengharungi aksi di gelanggang lawan.

Aksi itu turut menjadi ujian awal terhadap sistem dan prosedur baharu stadium selepas kerja naik taraf dilaksanakan bagi memenuhi keperluan penganjuran perlawanan peringkat Asia dan ASEAN.

Stadium Taha Ariffin kini mempunyai kapasiti 17,584 tempat duduk susulan pemasangan kerusi bernombor, selain penambahbaikan bilik persalinan, bilik pengadil, kemudahan pegawai perlawanan, surau dan tandas.

Pengerusi Eksekutif KCFC, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman sebelum ini berkata, perlawanan menentang Sabah FC penting bagi membiasakan penyokong dengan perubahan susunan tempat duduk, kemasukan ke stadium dan pengurusan pergerakan penonton sebelum aksi antarabangsa.

“Kerusi bernombor ini merupakan sesuatu yang baharu kepada penyokong kita yang sebelum ini biasa dengan sistem tempat duduk bebas.

“Sebab itu kita gunakan perlawanan persahabatan dengan Sabah untuk membiasakan mereka dengan sistem sektor dan tempat duduk yang ditetapkan,” katanya.

Stadium Taha Ariffin sebelum ini menerima kelulusan bersyarat susulan pemeriksaan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 23 September lalu.

Selepas aksi persahabatan itu, KCFC dijadual menentang Tampines Rovers FC pada 7 Oktober dalam Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) Shopee Cup, sebelum berdepan Kitchee SC dari Hong Kong pada 15 Oktober dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2).

Kepulangan KCFC ke laman sendiri bukan sahaja dinantikan penyokong, malah menjadi sebahagian persiapan kelab sebelum kembali membawa aksi bola sepak Asia dan ASEAN ke Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU