KUCHING: Hampir 100 pengamal media dari bahagian Kuching mengetepikan seketika tugasan masing-masing untuk menyertai Program Sukan Rakyat Persatuan Wartawan Bahagian Kuching Sarawak (KDJA) 2026 di Sekolah Menengah Chung Hua No. 4, di sini.
Mengangkat tema ‘Sarong On, Game On’, program itu memberi ruang kepada warga media beriadah serta mengeratkan hubungan dalam suasana santai.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, penganjuran itu memberi peluang kepada warga media yang menyampaikan berita setiap hari kepada masyarakat untuk turut bersama-sama mengambil bahagian dalam aktiviti sukan.
Semangat kerjasama yang diterapkan menerusi aktiviti sukan diharap dapat dibawa ke tempat kerja, khususnya dalam memperkukuh kerjasama sesama warga media.
Walaupun program berlangsung dalam keadaan jerebu, ia tidak menghalang pengamal media menyertai aktiviti yang disediakan.
Sebanyak tujuh acara dipertandingkan iaitu lumba sarung, ting-ting, boling kelapa, batu seremban, tarik tali, tarik guni dan bawa bola pingpong atas sudu.
Pasukan D yang diwakili Kalsum Mohammaadin, Nurin Patra, Asyraf Halim, Dayangku Nur Ekamiezza Awang Kamil, Shadiqin Bahrin, Alvester Bigol, Faseha Khushiri dan Rusnan Mustafa muncul juara keseluruhan dengan mengumpul 67 mata.
Pasukan itu mengetepikan tiga pasukan lain yang masing-masing mengumpul 41, 45 dan 47 mata.
Juara menerima wang tunai RM1,400, diikuti naib juara RM700, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima RM500 dan RM300.


