KUCHING: Sebarang rekaan pakaian atau produk yang memaparkan imej dadah atau menyerupai corak sebenar boleh dianggap sebagai mempromosikan penyalahgunaan bahan terlarang, sekali gus membolehkan pemilik atau penjual dikenakan tindakan termasuk sitaan dan tangkapan.
Pengarah Kementerian Dalam Negeri (KDN) Negeri Sarawak, Asydidi Hamzah berkata, walaupun ada pihak menganggapnya sebagai aksesori atau hiasan, paparan sedemikian tetap jatuh di bawah kategori bahan yang mempropagandakan dadah mengikut peruntukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984.
“Sebagai contoh, jika imej daun ganja itu benar-benar menyerupai bentuk tujuh jari yang asli, ia bukan lagi sekadar rekaan seni.
“Ia boleh ditafsirkan sebagai mempromosikan dadah dan pemilik atau penjual boleh dikenakan tindakan,” katanya pada sesi taklimat mengenai Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kepada Suara Sarawak dan Sarawak Tribune di sini, hari ini.
Di bawah AMCP 1984 ini juga, kata Asydidi, terdapat beberapa kategori bahan yang perlu ditapis, antaranya bahan lucah dan seksual, mengandungi unsur subversif dan barangan seks.
Seperti bahan lucah, katanya bahan berkenaan sering dirampas melibatkan majalah dari luar negara yang mengandungi kandungan tidak senonoh atau material lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Selain itu, kategori lain melibatkan barangan seks seperti patung seksual dan peralatan berkaitan yang sering dirujuk pihak kastam kepada KDN untuk keputusan rampasan.
“Sebahagian barangan tersebut dijadikan bahan pameran bagi tujuan kesedaran masyarakat.
“Kita tidak mahu masyarakat menormalisasikan perkara-perkara ini, apatah lagi jika kanak-kanak boleh terdedah tanpa kawalan,” katanya.
Dalam masa yang sama, katanya, aspek sentimen perkauman turut dipandang serius yang mana isu kecil boleh membawa kepada kehancuran.
“Di Malaysia dan khususnya di Sarawak, perkara ini amat sensitif dan perlu ditangani dengan berhati-hati,” jelasnya.
Beliau berkata, KDN juga menguatkuasakan Akta Penerbitan Teks Al-Quran 1986 berikutan sensitiviti tinggi terhadap ketepatan teks suci itu.
“Antara kes yang ditangani termasuk rampasan bingkai ayat Al-Quran yang tersalah cetak serta penahanan individu yang mendakwa memiliki ‘naskhah Al-Quran lama’ dan menjualnya di media sosial pada harga RM350,000,” ujarnya.
Menjelas mengenai sesi taklimat AMCP 1984 kepada Suara Sarawak dan Sarawak Tribune hari ini, beliau berkata sesi itu diadakan bagi menjelaskan semula keperluan perundangan dan peraturan sedia ada, berikutan beberapa isu yang memerlukan penyesuaian serta penambahbaikan melibatkan industri percetakan dan penerbitan.
“Kadang-kadang, kita sudah terlalu biasa dengan sesuatu amalan sehingga lupa peraturannya.
“Justeru, taklimat ini akan memberikan pendedahan lebih terperinci mengenai akta berkenaan kepada pengamal media serta pengusaha percetakan,” ujarnya.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sarawak Tribune dan Suara Sarawak, Datuk Dr Jeniri Amir.




