KUCHING: Bukan mudah untuk memulihkan sebuah negara atau negeri yang sudah aman jika keamanan itu tergugat, tegas Ketua Seksyen Regulatori Penerbitan, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Sahubar Ibrahim Ismail Gani.
Justeru, beliau menekankan pentingnya pematuhan ketat terhadap garis panduan KDN, iaitu penerbitan dan pencetakan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984.
Beliau berkata, Malaysia khususnya Sarawak berada dalam kedudukan istimewa kerana terus menikmati suasana aman dan makmur, namun keadaan itu tidak boleh diambil mudah memandangkan ancaman berkait kandungan penerbitan semakin kompleks.
“Ancaman dalam penerbitan meliputi isu kemoralan, ideologi, keselamatan negara, ketenteraman awam, kandungan yang bertentangan dengan undang-undang, selain bahan yang boleh memudaratkan kepentingan awam dan negara atau menggemparkan masyarakat.
“Apabila kita melihat keadaan di negara lain, barulah kita sedar betapa berharganya keamanan yang kita nikmati. Ketenteraman awam di Sarawak sangat terjaga, dan ia perlu dipelihara.
“Seperti di Sarawak, kita sering melihat tulisan ‘Sarawak Maju Makmur’, dan setiap orang yang membaca ungkapan itu seolah-olah mendoakan serta menandakan bahawa negeri kita benar-benar aman dan makmur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat mengenai Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kepada Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune di sini, hari ini.
Jelasnya, kepimpinan politik di Malaysia dan Sarawak mempunyai rekod jelas dalam menyatupadukan rakyat serta membawa negara dan negeri ke arah pembangunan yang stabil dan progresif.
Mengulas aspek perundangan, beliau menjelaskan bahawa Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 mentafsirkan ‘akhbar’ sebagai apa-apa penerbitan yang mengandungi berita, penjelasan, laporan atau ulasan mengenai perkara yang menarik minat umum, termasuk majalah dan komik yang dicetak secara berkala.
Malah KDN, katanya, turut menetapkan beberapa larangan dalam penerbitan seperti unsur hasutan berbaur politik, perkauman dan ekonomi; penggunaan istilah khusus agama Islam dalam penerbitan bukan Islam; penerbitan ayat al-Quran dalam tulisan selain Arab kecuali terjemahan; kandungan mistik yang bercanggah dengan akidah; komik yang mempromosikan budaya samseng; petikan hadis tanpa sumber sahih; serta laporan terperinci kes jenayah berat.
Beliau menambah, identiti kanak-kanak yang terbabit atau menjadi mangsa jenayah juga tidak boleh disiarkan, selaras Seksyen 15(2)(a) dan (b) Akta Kanak-Kanak 2001.
Katanya, garis panduan berkenaan bukan bertujuan menyekat kreativiti atau kerja media, sebaliknya bagi memastikan keselamatan, keharmonian dan kepentingan awam terus terpelihara.
Dalam pada itu, Sahubar menegaskan bahawa isu sensitif, termasuk perbandingan negatif antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung, perlu diberi perhatian kerana kandungan bersifat provokatif boleh membawa implikasi yang tidak diingini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sarawak Tribune dan Suara Sarawak, Datuk Dr Jeniri Amir dan Pengarah Kementerian Dalam Negeri (KDN) Negeri Sarawak, Asydidi Hamzah.

Pencegahan Dadah Perlukan Kerjasama Berterusan Semua Pihak
BINTULU: Program Mini Bowling: Strike Out Drugs! bukan sahaja menjadi wadah menggalakkan gaya hidup sihat, malah berperanan meningkatkan kesedaran masyarakat dengan bahaya penyalahgunaan dadah, khususnya
