KOTA SAMARAHAN: Pemupukan nilai keamanan, keharmonian dan belas kasihan tidak seharusnya sekadar menjadi teori, sebaliknya perlu dipraktikkan oleh semua pihak demi mewujudkan pembinaan konsep negara bangsa.

Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, meskipun nilai-nilai tersebut sering menjadi bahan perbincangan, namun jarang dilaksanakan dalam kehidupan seharian.
“Ia bukanlah sesuatu yang boleh dicapai dalam sehari kerana ia memerlukan keberanian, kefahaman, pertukaran pandangan dan usaha berterusan semua pihak.
“Justeru, penganjuran Forum Meja Bulat Antarabangsa mengenai Keamanan, Keharmonian dan Belas Kasihan ini menjadi platform penting untuk berkongsi pandangan, bertukar idea, mengenal pasti dasar serta saling belajar dan merenung semula perkara yang wajar dan tidak wajar dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Forum Meja Bulat Antarabangsa mengenai Keamanan, Keharmonian dan Belas Kasihan 2025, di Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini, hari ini.
Dr. Sim menegaskan nilai-nilai ini harus menjadi teras dalam pembinaan negara bangsa Sarawak dalam semua peringkat masyarakat bermula daripada institusi kekeluargaan, pendidikan hingga ke komuniti dan kepimpinan.
“Setiap daripada kita melihat nilai-nilai ini dari sudut yang berbeza. Sebagai pelajar di universiti, ia berkait rapat dengan pembinaan sahsiah manakala di peringkat kepimpinan pula, ia berkait dengan dasar dan bagaimana kita merangka polisi yang mencerminkan nilai tersebut,” jelasnya.
Jelasnya, inisiatif ini merupakan langkah penting dalam merangka peta hala tuju bersama bagi mengiktiraf Kuching sebagai Bandar Keamanan Antarabangsa menjelang 2027, selain menyokong aspirasi untuk menjadikan bandar ini sebagai Model Bandar UNESCO bagi Keamanan dan Keharmonian.
“Usaha ini juga membina reputasi Sarawak di peringkat global, selepas menerima pengiktirafan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) serta penantian terhadap status UNESCO Global Geopark,” tambahnya.



