DEBAK: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam mengulangi gesaan agar keanggotaan balai polis luar bandar di Sarawak dipertingkatkan bagi memastikan tahap keselamatan dan perkhidmatan kepada masyarakat lebih berkesan.
Menurutnya, beberapa balai polis termasuk yang baharu diwujudkan masih belum memenuhi kuota anggota yang ditetapkan, sekali gus menjejaskan keupayaan pasukan untuk menjalankan tugas secara optimum.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Saribas tersebut berharap Ketua Polis Negara (KPN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberikan perhatian serius terhadap isu yang lama dibangkitkan itu.
“Sebelum ini perkara ini telah dimajukan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), dan saya berharap suara yang dibangkitkan ini sampai kepada pihak KPN serta JPA supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
“Sebagai contoh, Balai Polis Debak sepatutnya mempunyai 30 anggota, namun ketika ini hanya dianggotai tujuh orang. Keadaan itu jelas tidak munasabah dengan jumlah keanggotaan sedemikian.
“Pihak pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diharap tidak hanya melihat faktor kepadatan penduduk, tetapi turut mengambil kira keluasan kawasan, jarak antara penempatan dan cabaran logistik di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kepolisan Komuniti: Komuniti Sejahtera, Komitmen Kami di Dewan Perpaduan Debak hari ini.
Jelasnya, situasi sama pernah berlaku melibatkan Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) apabila jumlah kakitangan di daerah di Sarawak jauh lebih rendah berbanding di Semenanjung Malaysia.

“Namun selepas beberapa cadangan dikemukakan, saya dimaklumkan berlaku penambahan kakitangan AADK di beberapa daerah di Sarawak.
“Saya berharap pendekatan sama dapat dipertimbangkan oleh pucuk kepimpinan PDRM bersama JPA supaya kehadiran anggota polis dalam komuniti luar bandar dapat diperkukuhkan.
“Saya yakin langkah ini mampu membantu membendung jenayah bersifat lokal yang semakin membimbangkan di kawasan luar bandar,” ujarnya.
Beliau berkata, jenayah seperti kecurian buah kelapa sawit, pecah rumah, kecurian hasil kebun dan penyalahgunaan dadah memerlukan tindakan lebih agresif daripada semua pihak.
“Kebimbangan masyarakat terhadap kes kecurian dan penyalahgunaan dadah semakin meningkat.
“Justeru, saya menggesa semua pihak, termasuk penduduk setempat, supaya terus bekerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu siasatan serta usaha pencegahan jenayah,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak takut atau ragu-ragu untuk menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada pihak polis kerana kerjasama masyarakat merupakan elemen penting untuk memastikan keselamatan komuniti terus terpelihara.
Turut hadir Ahli Parlimen Betong Datuk Dr Richard Rapu, Ketua Polis Daerah Betong DSP Wan Mohamad Ali Wan Malek serta Pegawai Daerah Pusa Hamdan Katang.




