BINTULU: Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Sarawak terus memperkukuh agenda kebajikan dan kesejahteraan keluarga warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi pendekatan turun padang bagi memahami keperluan serta cabaran yang dihadapi ahli di peringkat daerah.
Pengerusi PERKEP Kontinjen Sarawak, Datin Dr. Nitce Isa Medina Machmudi Isa berkata, hubungan erat antara kepimpinan PERKEP di peringkat kontinjen dengan daerah amat penting bagi memastikan aspek kebajikan serta keharmonian keluarga warga PDRM sentiasa diberi perhatian.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Rumah PERKEP Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tatau di sini, semalam.

Menurut beliau, lawatan julung kali ke IPD Tatau itu bukan sahaja menjadi platform untuk memperkukuh hubungan silaturahim dan semangat kekeluargaan dalam kalangan ahli, malah memberi peluang kepada kepimpinan PERKEP Kontinjen Sarawak mendekati serta memahami situasi semasa ahli di daerah berkenaan.
“PERKEP akan terus memainkan peranan sebagai medium sokongan kepada warga PDRM dan keluarga mereka melalui pelbagai inisiatif kebajikan serta pengukuhan jaringan kerjasama antara kepimpinan di peringkat kontinjen dan daerah,” katanya.
Ketibaan Datin Dr. Nitce Isa Medina bersama rombongan disambut oleh Ketua Polis Daerah Tatau, DSP Jame Reis, Pengerusi PERKEP IPD Tatau, Lumin Tarip serta ahli-ahli PERKEP IPD Tatau.
Antara pengisian program termasuklah sesi menandatangani buku pelawat, pembentangan laporan aktiviti PERKEP IPD Tatau serta sesi suai kenal dan soal jawab bersama Pengerusi PERKEP Kontinjen Sarawak.
Program itu turut diserikan dengan penyampaian cenderahati dan lawatan ke sekitar kawasan Rumah PERKEP IPD Tatau.
Sesi interaksi berkenaan memberi peluang kepada ahli PERKEP IPD Tatau untuk berhubung secara langsung dengan kepimpinan PERKEP Kontinjen Sarawak, selain berkongsi pandangan berkaitan aktiviti dan kebajikan ahli.
Turut hadir Ketua Bahagian Pengurusan IPD Tatau, ASP Kisam Wa, Setiausaha PERKEP Kontinjen Sarawak, ASP Rathna Borhan, Bendahari PERKEP Kontinjen Sarawak, Insp. Roslinah Othman, Setiausaha PERKEP IPD Tatau, Insp. Fergie Dim, ketua-ketua bahagian IPD Tatau serta ahli-ahli PERKEP IPD Tatau.



