BINTULU: Persatuan Anaq Vaie Bintulu (PAVB) memandang serius insiden kebakaran bangunan SK Orang Kaya Mohammad (OKMS) Bintulu pada Jumaat lalu.
Pengerusinya, Pandi Suhaili menyifatkan insiden itu sebagai sesuatu yang malang dan mendukacitakan masyarakat Vaie khasnya bekas-bekas pelajar OKMS sejak 108 tahun yang lalu.
Justeru, beliau menggesa pihak berwajib terutamanya Lembaga Kemajuan Bintulu mengambil peranan tegas dan tuntas menyelesaikan status tapak OKMS dan mengembalikannya untuk kepentingan umum.
Tegasnya lagi, PAVB mengambil maklum sentimen masyarakat tempatan khususnya masyarakat Vaie mengenai kedudukan tapak OKMS yang terbiar sejak sekian lama.
Tindakan segera harus diambil bagi menentukan objektif dan hala tuju tapak OKMS, ujarnya kepada media seusai meninjau tapak kebakaran bangunan SK OKM di sini, tengahari tadi.

Kata Pandi lagi, PAVB sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan(NGO) yang berteraskan masyakat Vaie mengusulkan langkah- langkah
Antaranya, menubuhkan jawatankuasa bertindak dengan melibatkan pihak yang berkepentingan seperti PAVB mengenai perancangan masa depan tanah dan tapak OKMS.
Tambahnya lagi, PAVB juga menolak sebarang bentuk ambil alih tapak OKMS bagi tujuan komersial oleh pihak yang berkepentingan selain mencadangkan penubuhan Universiti Islam Vaie di tapak sekolah tersebut serta cadangan menjadikan tapak OKMS sebagai hub pendidikan disamping mengekalkan sebagai tapak warisan di Bintulu.
Pada masa yang sama, PAVB, turut mendesak supaya Kerajaan Sarawak campur tangan dan memberi kata putus yang jelas mengenai kedudukan dan masa depan tapak asal OKMS.
Apa yang penting, katanya, kerjasama di antara kerajaan, pemimpin tempatan dan masyarakat Vaie/Bintulu khasnya untuk melestarikan tapak OKMS agar memberi manfaat yang berterusan kepada masyarakat tanpa mengorbankan nilai-nilai sejarah penubuhannya.
Dalam konteks tersebut, PAVB sedia bekerjasama dengan semua pihak yang terlibat demi memelihara warisan, kebudayaan dan sejarah Bintulu demi masa depan generasi akan datang, tambahnya.
Pada Jumaat, lima bilik darah di tingkat atas bangunan Sekolah Kebangsaan(SK) Orang Kaya Mohamad ranap dijilat api dalam kebakaran jam 1.30 petang.
SK Orang Kaya Mohamad Bintulu dibina pada 1912 dan kini tidak digunakan lagi atas faktor daif demi keselamatan pelajar dan pihak sekolah
Pada masa ini, sekolah berkenaan menumpang bangunan SK Kampung Baru untuk meneruskan sesi persekolahan pelajar.

