KUCHING: Kebakaran gudang yang menempatkan tayar terpakai di Batu 9, Jalan Indah Ria berjaya dipadam 90 peratus setakat ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, operasi pemadaman yang memasuki hari keenam hari ini melibatkan kerja-kerja ‘overhaul’ dan pendinginan masih diteruskan dengan kekuatan 16 orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan dan BBP Kota Sentosa.
“Kerja-kerja penggalian dijalankan dengan bantuan sebuah jengkaut bagi mengalih timbunan tayar terbakar dan pasukan pemadaman melaksanakan pemadaman langsung ke kawasan berasap dan masih panas.
“Pendinginan ‘hotspot’ turut dilakukan secara berperingkat menggunakan beberapa aliran air dari pam angkut, pam jentera BBP Kota Samarahan dan BBP Kota Sentosa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, sumber air utama diambil dari pili bomba berhampiran lokasi kejadian serta sistem ‘relay pumping’ digunakan bagi memastikan bekalan air berterusan.
Menjelas lanjut, beliau berkata cabaran yang dihadapi adalah bara api sukar dipadam sepenuhnya disebabkan lapisan tayar yang tebal dan padat.




