SIMANGGANG: Keadaan tanah gambut yang lembut dan tidak stabil menjadi cabaran utama kepada pasukan bomba untuk memasuki kawasan kebakaran di Jalan Kejatau dengan lebih jauh.
Urus Setia Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sri Aman, Ramon Addy Mroon @ Ambrose berkata, keadaan itu turut mengehadkan pergerakan jentera berat yang digunakan bagi kerja mengorek tanah dan membina ‘firebreak’ di kawasan terbabit.
Beliau berkata demikian ketika meninjau lokasi kebakaran di Jalan Kejatau, semalam.
“Keadaan tanah gambut yang lembut memberikan sedikit kesukaran kepada pihak bomba untuk masuk lebih jauh ke kawasan kebakaran, selain jentera berat hanya dapat bergerak di kawasan yang terhad,” katanya.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintendan Dennis Bunyam dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Tiga (Sri Aman), Muhammad Rais Adham Rosalan.
Menurut Ramon, keadaan keseluruhan kebakaran masih terkawal setakat petang Selasa, dengan tiga lokasi dikenal pasti mengalami kebakaran belukar.
“Pasukan bomba sedang bertungkus-lumus memadam dan mengawal kebakaran, manakala ‘firebreak’ turut dibuat sebagai langkah untuk mengawal serta menghalang api daripada terus merebak,” ujarnya.
Beliau berkata, perkembangan terkini serta maklum balas berhubung isu dan cabaran yang dihadapi pasukan sepanjang operasi akan dibawa untuk perhatian pada Mesyuarat JPBB Sri Aman yang dijadualkan berlangsung pada 17 Ogos ini.

Dalam pada itu, Ramon merakamkan penghargaan kepada pasukan Bomba dan Penyelamat Zon Tiga Bahagian Sri Aman atas usaha berterusan memadam dan mengawal kebakaran berkenaan.
Beliau turut menghargai kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Sri Aman yang membantu mendapatkan serta menyediakan mesin jengkaut bagi kerja mengorek tanah dan membina ‘firebreak’ di kawasan terbabit.
Usaha bersepadu semua agensi, katanya, amat penting bagi memastikan kebakaran dapat dikawal dan tidak terus merebak, khususnya dalam keadaan cuaca panas dan kering yang meningkatkan risiko kebakaran belukar serta tanah gambut.




