KUALA LUMPUR: Selepas hampir 48 jam insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya menggemparkan negara pada pagi Selasa, tumpuan kini terarah kepada siasatan punca kejadian dan pemeriksaan tahap keselamatan yang dilaksanakan di kawasan itu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata kerja pemulihan di lokasi insiden setakat ini adalah selamat susulan pemeriksaan Petronas yang mendapati tiada lagi kandungan gas dikesan dalam saluran paip berkenaan.
Bermula hari ini, pihak berkuasa akan menilai integriti dua lagi saluran paip untuk menilai sama ada ia masih dalam keadaan baik atau sebaliknya.
Beliau mengesahkan tiada penemuan mayat di lokasi kebakaran selepas Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan operasi pencarian secara menyeluruh.
Insiden kebakaran besar yang berlaku pada pukul 8.10 pagi itu meninggalkan kesan ketara, membentuk sebuah kawah sedalam 32 kaki dengan keluasan kira-kira 70 x 80 kaki. – Bernama



