KOTA SAMARAHAN: My Inn Hotel di sini meneruskan operasi dengan memastikan segala prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan baik.
Penyelianya Chiah Chiew berkata, kebersihan hotel dan keselamatan pelanggan merupakan keutamaan pihak kami.
“Kami akan memastikan pelanggan atau pengunjung yang datang ke hotel ini mengikuti SOP yang telah ditetapkan.
“Ia termasuk dengan membuat saringan suhu badan, mengisi butir diri untuk rekod dan sebagainya,” katanya kepada Suara Sarawak, kelmarin.
Tambahnya, hotel mereka bukan menjadi tumpuan untuk para pelancong tetapi lebih kepada masyarakat tempatan dan kakitangan kerajaan sekiranya mereka mempunyai kerja atau seminar di kawasan ini.
“Ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kini, memang tidak banyak tempahan yang kami terima.
“Kebiasaannya hotel ini akan mendapat tempahan yang tinggi sekiranya pada musim konvokesyen,” ujarnya.
Dari segi promosi harga bilik, Chiah Chiew menjelaskan mereka belum memutuskan untuk memberikan promosi dari segi harga ketika ini.
“Bagaimanapun, sekiranya pelanggan membuat tempahan dalam talian menggunakan booking.com seperti Agoda dan sebagainya mereka akan mendapat harga promosi.
“Untuk pembelian secara langsung di kaunter hotel ini, kami memang belum menerima arahan untuk membuat promosi,” tambahnya lagi.
Chiah Chiew mendedahkan, hotel tersebut mempunyai 46 bilik dan ada antara bilik yang ada boleh memuatkan dua hingga empat orang.
“Untuk menjamin keselamatan pelanggan dan kebersihan kami akan membersihkan bilik setiap kali pelanggan mendaftar keluar.
“Kami juga akan menutup bilik dalam tempoh satu hingga dua hari untuk membersihkan katil, tilam dan membuat sanitasi di dalam bilik berkenaan.
“Bagaimanapun sekiranya ada pelanggan yang menempah bilik untuk lebih daripada satu hari, kami akan membuat pekhidmatan menukar cadar,” jelasnya lagi.
Untuk rekod, hotel dan rumah tumpangan di Sarawak telah dibenarkan untuk memulakan operasi pada 12 Mei 2020 ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.