NURIN MAISARAH
»PERANAN penjaga tandas awam sering diabaikan, tetapi tugas mereka ini sangat penting untuk memastikan kebersihan dan keselesaan tempat awam.
Tanpa usaha gigih mereka, banyak tandas awam akan kotor dan tidak terurus. Di tebingan Kuching, terdapat tandas awam yang bersih hingga bertaraf lima bintang.
Penjaga tandas awam, Nareti Keteng, 51, meluahkan cabarannya mengekalkan kebersihan tandas awam yang sering diabaikan oleh sesetengah pengunjung.
“Saya berusaha menjaga kebersihan tandas, termasuk tugas mencuci lubang tandas, mengelap dinding, dan mengutip sisa sampah yang dibuang sembarangan oleh pengunjung.
“Rakan sekerja lelaki turut membantu pada waktu malam dengan kerja-kerja seperti mengemop lantai dan membersihkan kawasan tinggi kerana saya tidak mampu menaiki tangga,” jelasnya.
Menurut Nareti, salah satu cabaran utama yang dihadapi adalah sikap pengunjung yang tidak menjaga kebersihan, menyebabkan tandas menjadi kotor selepas digunakan.
“Yang paling teruk sekali, ada sesetengah pengunjung yang tidak mencuci tuala wanita dan membuangnya sesuka hati sehingga meninggalkan kotoran.
“Saya sudah bekerja di sini sejak 2016 dan sudah terbiasa dengan sikap segelintir individu seperti itu.
“Namun, saya tidak faham kenapa ada sesetengah mereka yang masih tidak menjaga kebersihan sedangkan tiada sebarang kerosakan pun berlaku di tandas awam ini,” luah ibu tunggal itu.
Selain itu, Nareti selalu berpesan kepada pengunjung yang datang untuk menjaga kebersihan, walaupun mereka hanya membayar 20 sen untuk penggunaan tandas.
Jelasnya, pada waktu puncak serta hujung minggu, pembersihan dilakukan lebih kerap untuk memastikan tandas sentiasa bersih dan selesa digunakan oleh pengunjung.
Tambah Nareti, dia menggunakan pembersih dan pewangi khas untuk membantu mengurangkan masalah bau tidak menyenangkan di dalam tandas.
Ujarnya lagi, dia akan memastikan sistem pengudaraan berfungsi dengan baik dan membersihkan tandas secara kerap.
Ditanya mengenai dorongan memilih pekerjaan sebagai penjaga tandas awam, Nareti menginginkan pekerjaan yang stabil dan dapat memberikan masa yang fl eksibel.
“Pada awalnya, saya tidak tahu jika ini adalah pekerjaan yang saya ingin lakukan, tetapi lama-kelamaan saya belajar untuk menghargai kepentingan pekerjaan ini.
“Saya kadang-kadang rasa dihargai apabila pengguna tandas memberi maklum balas positif, tetapi dalam kebanyakan kes, saya berasa kerjanya tidak terlalu dipandang.
“Namun, saya tetap berbangga dengan pekerjaan ini kerana pekerjaan ini memainkan peranan penting dalam memastikan keselesaan masyarakat.
“Saya sebagai ibu tunggal pun tidak mengharapkan lebih selain pekerjaan yang telah ada sekarang dengan gaji permulaan RM800 yang kini meningkat kepada RM1500,” ujarnya.
Dalam usaha meningkatkan tahap kebersihan, Nareti juga aktif menyertai kursus latihan penjagaan tandas awam yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara.
Nareti berharap orang ramai lebih menghargai pekerjaan seperti ini kerana dia bekerja di belakang tabir untuk memastikan pengunjung dapat menggunakan kemudahan dengan selesa.



