Kebocoran SSGP membimbangkan

KUCHING: Menteri Kerja Raya Baru Bian mahu siasatan terperinci dibuat terhadap kebocoran yang berlaku di sepanjang Petronas Sabah Sarawak Gas Pipeline (SSGP).

Beliau juga mendesak agar Petronas menjelaskan mengenai perkara itu kepadanya secepat mungkin.

Menurut Ahli Parlimen Selangau itu, kebocoran ketiga yang berlaku di PSSP di Long Segaman, Lawas baru-baru ini menimbulkan kebimbangan yang serius terhadap tahap keselamatan PSSP.

Katanya penjelasan melalui taklimat yang diberikan Petronas kepadanya selepas insiden kedua di Long Luping menunjukkan bahawa kaedah keselamatan yang digunakan tidak berkesan.

“Saya dimaklumkan prosedur ketat telah diperkenalkan untuk memastikan kebocoran dapat dikesan lebih awal.

“Tetapi nampaknya kaedah keselamatan atau proses pemantauan ini tidak efektif dan tidak berfungsi.

“Saya meminta siasatan terperinci dibuat dan taklimat dibuat kepada saya secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan semalam.

Baru yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lawas menambah insiden itu akan menyebabkan lebih banyak kesulitan dan kebimbangan kepada mereka yang tinggal berdekatan dengan PSSP.

Namun demikian, beliau bersyukur kerana tiada kemalangan berlaku dalam insiden berkenaan.

Pada Rabu lepas, kebocoran gas telah berlaku di Stesen Injap SL106, Saluran Paip Gas di Long Segaman, Lawas.

Kejadian itu dapat dikawal dengan segera apabila sekumpulan kakitangan SSGP yang bertugas di lokasi kejadian berjaya mengawal kebocoran itu dengan menutup injap berhampiran paip gas berkenaan.

Pada 10 Januari tahun lalu, kebocoran turut berlaku pada saluran paip gas dari Sabah ke Sarawak itu di Long Luping yang terletak antara Limbang dan Lawas.

BARU BIAN

Suara Sarawak