Kebolehpasaran graduan Politeknik Mukah meningkat

MUKAH: Berdasarkan statistik kebolehpasaran graduan Politeknik Mukah (PMU) telah meningkat dari 92.3 peratus kepada 95.13 peratus pada tahun 2018 dari tahun 2017.

Pengarah Kanan ( Kompetensi) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr Mohd Rashahidi @ Rusdi Mohamood berkata daripada jumlah tersebut seramai 950 orang pelajar daripada 998 orang graduan telah berjaya mendapatkan pekerjaan atau melanjutkan pengajian ke tahap yang lebih tinggi.

“Sehubungan itu, untuk konvoskesyen PMU kali ke-12 ini, seramai 998 orang graduan daripada sembilan program pengajian peringkat diploma, bakal menerima diploma masing-masing dan berharap agar kebolehpasaran ini akan terus meningkat,” katanya berucap dalam majlis Konvoksyen Politeknik Mukah kali ke-12 di Dewan Serbaguna PMU semalam.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua graduan termasuklah iringan doa ibu bapa dan komitmen para pensyarah telah membuahkan hasil sehingga mereka berjaya menamatkan pengajian di PMU.

Dalam perkembangan sama katanya Politeknik Malaysia telah meraikan sambutan jubli emas ulang tahun ke-50 penubuhan politeknik dan Politeknik Ungku Omar (PUO) ialah politeknik pertama ditubuhkan pada tahun 1969.

Dr Mohd Rashahidi @ Rusdi Mohamood menyampaikan sijil kepada para graduan dalam majlis Konvoksyen Politeknik Mukah kali ke-12 di Dewan Serbaguna PMU semalam.

“Terubuhan politeknik ini ialah berikutan kekurangan pekerja teknikal dan kakitangan berkelayakan untuk membantu perusahaan dan perniagaan pada masa tersebut.

“Dan sehingga kini 36 buah politeknik telah beroperasi di seluruh Malaysia dengan jumlah pelajar 100,000 orang,10,604 orang tenaga pengajar dan perbelanjaanengurus hampir RM1 bilion untuk setahun,” ujarnya.

Begitu juga dengan kejayaan PMU pada peringkat negara dan antarabangsa telah banyak mengharumkan nama Sarawak dan negara.

“Turut tidak terkecuali ialah melalui usahasama PMU dengan pihak industri, misalnya kerjasama dengan Bank Rakyat Cawangan Mukah, Press Metal Sarawak, Jabatan Kerja Raya Mukah, Universiti College of Technology Sarawak telah banyak membantu para graduan untuk kekal relevan dalam pasaran kerja negara.

“Peranan pihak industri turut tidak terhad kepasa proses pembangunan kurikulum tetapu juga memberi peluang kepada para pelajar untuk mendapat kemahiran praktikal,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut berharap agar semua para graduan sentiasa menanamkan rasa ingin tahu yang tinggi bagi membentuk minda yang lebih kreatif.

“Kita mahu anda sentiasa dahagakan ilmu bagi meningkatkan potensi diri dengan penuh kesungguhan selain menjadikan diploma sebagai asas untuk maju ke peringkat yang lebih tinggi dalam kerjaya,” jelas beliau.

Dalam majlis tersebut seramai 998 orang graduan tersebut telah diraikan dan kesemua graduan ini merupakan lulusan Diploma yang telah tamat pengajian pada sesi Disember 2017,iaitu seramai 603 orang graduan dan sesi Jun 2018 iaitu seramai 395 orang graduan.

PMU turut menganugerahkan Pingat Ketua Jabatan kepada 70 orang graduan yang berjaya mencapai CGPA melebihi 3.50, selain Anugerah Pengarah turut diberikan kepada Ferez Fernandez Sem dan Michelle Francis Minggu atas kejayaan mereka dalam akademik dan kokurikulum.

Turut hadir ialah Pengarah PMU Dullah Muluk, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PMU Iskandae Reduan, Residen Mukah Hajah Hamdiah Haji Bakir ,pensyarah- pensyarah dan ibu bapa.