BINTULU: Usaha anggota Koperasi Wawasan Ibu Tunggal Bintulu mengusahakan kebun secara bersama wajar diperkasa menerusi sokongan kemudahan dan bantuan agensi berkaitan bagi membantu golongan itu menjana pendapatan serta meningkatkan taraf hidup keluarga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, komitmen anggota koperasi mengusahakan pelbagai tanaman membuktikan golongan ibu tunggal mampu berdikari serta membina kehidupan lebih baik melalui usaha sendiri.

Apa yang lebih mengagumkan ialah semangat dan ketabahan anggota koperasi bergotong-royong mengusahakan kebun bermula daripada penyediaan tanah hingga penjagaan tanaman,
Johnny Pang berkata aktiviti pertanian itu bukan usaha mudah kerana memerlukan komitmen, tenaga dan masa secara berterusan bagi memastikan kebun diurus dengan baik serta menghasilkan tanaman berkualiti.
Katanya, walaupun berdepan pelbagai cabaran kehidupan, golongan ibu tunggal berkenaan memilih untuk tidak berputus asa, sebaliknya berganding bahu memanfaatkan sumber yang ada bagi membina sumber pendapatan sendiri.
Dalam pada itu, beliau berkata beberapa keperluan dan cadangan anggota koperasi berkaitan kemudahan di kawasan kebun turut diambil maklum.
Beliau akan berhubung dengan jabatan dan agensi berkaitan bagi mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh dipertimbangkan untuk menambah baik kemudahan serta menyokong kelangsungan aktiviti pertanian koperasi.
Beliau berkata inisiatif berasaskan komuniti turut berpotensi menjadi contoh bagaimana semangat kerjasama dan usaha secara berkumpulan mampu membantu golongan memerlukan membina kehidupan lebih berdaya tahan.
Pang berharap usaha anggota koperasi berkenaan membuahkan hasil bukan sahaja dari segi pertanian dan ekonomi, malah menjadi titik tolak kepada masa depan yang lebih baik.




