DALAT: Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Dalat mengambil langkah berani dengan melaksanakan Program Kelas Bimbingan Pelibatan Ibu Bapa Komuniti Swasta (PIBKS) di luar sekolah.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ini adalah usaha bersama bagi memastikan anak-anak kita mencapai kecemerlangan.
“Kecemerlangan anak-anak bukan terletak pada guru sahaja, tetapi pihak lain seperti ibu bapa, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta komuniti setempat.
“Ini disebabkan guru mempunyai masa terhad bersama anak-anak semasa persekolahan dan selebihnya ibu bapa, KMKK dan komuniti setempat yang memainkan peranan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Kelas Bimbingan PIBKS di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dalat, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, kerjasama daripada komuniti setempat sememangnya perlu, terutamanya bagi memberi sokongan kepada anak-anak.
Jelasnya, secara psikologi anak-anak akan berasa bahawa ramai yang prihatin dan peduli akan kecemerlangan mereka jika melibatkan komuniti setempat.

Sehubungan itu, Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat memberitahu, selain anak-anak yang lemah dalam pelajaran, mereka yang cemerlang juga perlu diberi perhatian.
“Ini kerana pelajar cemerlang dapat membantu mereka yang lemah dalam pelajaran dan ia lebih mudah kerana faktor rakan sebaya.
“Selain itu, kita perlu memberi galakan kepada mereka yang berbakat supaya dapat menonjolkan lagi bakat yang ada,” jelasnya.
Di samping itu, Fatimah menyampaikan sijil penghargaan kepada KMKK dan juga guru kelas bimbingan PIBKS 2024 yang melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Oya dan SMK Dalat.
Beliau turut menyampaikan insentif kepada 13 orang pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Dalam pada itu, beliau berharap agar semua pihak sentiasa berusaha bagi memastikan kecemerlangan anak-anak.


