KAPIT: Sebuah kedai serbaneka tiga tingkat musnah hampir 80 peratus dalam satu insiden kebakaran di Jalan Airport Kapit, awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian pada 2.24 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.

Kebakaran dipercayai bermula di tingkat bawah bangunan sebelum merebak ke tingkat satu.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati premis berstruktur kekal itu terbakar hampir 80 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman menghadapi kesukaran disebabkan laluan masuk ke dalam premis dihalang oleh barangan yang disusun di pintu masuk.
Bagaimanapun, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menggunakan kaedah ‘offensive’ dan ‘defensive’ untuk mengawal kebakaran di tingkat bawah dan tingkat satu, khususnya di bahagian belakang bangunan.
“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan. Operasi berjaya dikawal pada 4.12 pagi, manakala kerja-kerja overhaul bagi memastikan api dipadam sepenuhnya selesai sekitar 5 pagi,” tambahnya.


