ARTIKEL

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyampaikan ucaptama penutup khas pada Persidangan Antarabangsa PROTECT Sarawak 2026 yang membincangkan topik Privasi Data dan Kepercayaan Digital di The Waterfront Hotel, Kuching, hari ini. FOTO: MOHD ALIF NONI

Kedaulatan data perlu dilindungi dalam ekosistem digital

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penguasaan teknologi terkini menjadi keperluan penting, khususnya dalam usaha melindungi data melalui pendekatan teknologi yang saling melindungi antara satu sama lain dalam ekosistem digital.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bahawa kedaulatan data merupakan elemen penting untuk dilindungi dalam era digital masa kini.

“Saya yakin wujud teknologi yang mampu melindungi teknologi itu sendiri, dan Sarawak mengambil langkah proaktif melatih tenaga kerja dengan menyediakan pendidikan universiti percuma kepada pelajar.

“Inisiatif ini bagi memastikan generasi muda berpeluang menguasai teknologi terkini yang semakin berkembang pesat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama penutup khas pada Persidangan Antarabangsa PROTECT Sarawak 2026: Privasi Data dan Kepercayaan Digital di The Waterfront Hotel di sini, hari ini.

Menurutnya, digitalisasi sememangnya efisien dan mampu memberikan hasil yang positif terhadap setiap tugasan yang dilaksanakan, namun turut membawa risiko yang perlu difahami serta diurus dengan baik.

“Oleh itu, kita perlu memahami cara sistem berfungsi serta penggunaan mekanisme pengesanan yang dapat memastikan ketulenan dan keselamatan dalam pelaksanaan dasar digital bagi mengurangkan risiko tersebut,” jelasnya.

Ketika ditemui pemberita, Abang Johari menjelaskan bahawa kerangka perundangan seperti undang-undang siber telah pun diwujudkan bagi mengawal sistem data serta melindungi maklumat.

Katanya, terdapat parameter perundangan melalui undang-undang siber yang mengawal sistem dan perlindungan data, namun keselamatan mutlak sepenuhnya tidak dapat dijamin kerana bergantung kepada keupayaan teknologi semasa.

“Teknologi perlindungan data seperti penyulitan diperlukan, namun masih dapat dipecahkan menerusi sistem teknologi yang lain.

“Kita serahkan kepada para saintis untuk membangunkan kaedah terbaik, termasuk konsep penebatan yang boleh bertindak sebagai tembok digital yang sukar ditembusi,” katanya.

Abang Johari turut menegaskan bahawa kepantasan inovasi memerlukan kesiapsiagaan berterusan kerana teknologi baharu boleh muncul dalam tempoh yang singkat dan mengubah landskap digital secara menyeluruh.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU