WASHINGTON: Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Uganda pada Isnin mengumumkan penggantungan sementara semua perkhidmatan visa susulan penularan wabak Ebola yang sedang berlaku, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Berkuat kuasa 18 Mei 2026, susulan wabak Ebola yang sedang berlaku, Kedutaan AS menggantung sementara semua perkhidmatan visa. Pemohon visa yang terjejas telah dimaklumkan,” menurut kenyataan kedutaan itu.
Menurut kedutaan, penggantungan melibatkan kedua-dua visa imigresen dan bukan imigresen, sambil memaklumkan yang temu janji yang terjejas akan dijadualkan semula.
Menurut kenyataan tersebut, langkah itu bagaimanapun tidak menjejaskan visa yang masih sah ketika ini.
Minggu lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan wabak Ebola di Republik Demokratik Congo dan Uganda selepas lebih 300 kes disyaki serta 88 kematian dilaporkan.
— BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI



