ARTIKEL

TAHAN…Antara suspek yang ditahan dalam beberapa siri serbuan di Bekenu, baru-baru ini.

Kegiatan curi kabel bawah tanah di Miri tumpas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Kegiatan mencuri kabel bawah tanah yang menjejaskan kemudahan awam di bandar ini berjaya dipatahkan selepas polis menahan empat individu dalam beberapa siri serbuan di Bekenu, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Miri, Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, tangkapan dibuat antara 13 Mac hingga 16 Mac lepas hasil risikan dan maklumat awam berhubung kejadian kecurian kabel yang semakin membimbangkan di sekitar bandar raya itu.

“Empat suspek terdiri daripada dua lelaki tempatan dan dua warga asing berusia antara 30 hingga 40 tahun ditahan di sebuah premis besi buruk tanpa lesen yang dipercayai menjadi lokasi pengumpulan bahan curi,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Farhan menambah, serbuan itu dilaksanakan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri dengan kerjasama Polis Bantuan Sarawak Energy Berhad (SEB) cawangan Miri.

Dalam operasi tersebut, polis merampas pelbagai barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah itu, termasuk sebuah kenderaan milik suspek, beberapa gulung kulit kabel, kabel tembaga, alat penimbang serta peralatan pemotong.

“Siasatan awal mendapati bahan-bahan berkenaan dipercayai diperoleh melalui kegiatan mencuri kabel bawah tanah di beberapa lokasi sekitar Miri,” katanya.

Menurut Mohd Farhan, kejayaan menumpaskan kumpulan itu sekali gus membantu menyelesaikan sekurang-kurangnya dua kes kecurian kabel yang dilaporkan sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau berkata siasatan masih diteruskan bagi mengesan saki-baki ahli kumpulan yang dipercayai masih bebas.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan mencuri, merosakkan atau membeli harta awam curi.

Katanya, perbuatan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang, malah memberi kesan kepada kemudahan asas serta kesejahteraan masyarakat.

“Sehubungan itu, orang ramai digesa supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu membanteras kegiatan jenayah berkenaan.

“Maklumat boleh disalurkan melalui Bilik Gerakan IPD Miri atau mana-mana balai polis berhampiran bagi tindakan lanjut,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU