KUCHING: Sebuah rumah kedai di Muara Tabuan, di sini yang dijadikan sebagai pusat operasi melombong bitcoin sejak bulan Februari lalu diserbu polis.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ashmon Bajah berkata,
hasil risikan maklumat dilakukan sebelum ini, premis berkenaan diserbu oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching bersama Sesco pada Jumaat, kira-kira jam 10 pagi.
Katanya, dalam serbuan tersebut, dua lelaki warga tempatan berusia 24 dan 44 tahun ditahan kerana disyaki menjadi penjaga premis berkenaan.
“Berdasarkan pemeriksaan dari pihak Sesco, dipercayai jumlah keuntungan kasar bagi aktiviti tersebut sebanyak RM23,000 sebulan.
“Jumlah keseluruhan hasil aktiviti bagi lapan bulan telah mencecah RM184,000. Pihak polis kini sedang mengesan pemilik sebenar premis yang masih bebas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pada serbuan tersebut, polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk satu unit monitor komputer, satu unit pemprosesan komputer (CPU), 90 unit mesin bitcoin, router, modem dan peralatan lain dalam menjalankan kegiatan melombong bitcoin tersebut.
Ashmon berkata, kertas siasatan telah dibuka dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya sekali dan Seksyen 33 (5) Ordinan Elektrik Sarawak yang membawa hukuman denda RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Katanya, kedua-dua suspek direman di Mahkamah Kuching hari ini.
