KUCHING: Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said, digesa menarik balik kenyataan yang menyentuh isu agama Kristian secara tidak wajar pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.
ADUN Tamin, Christopher Gira Sambang, berkata tokoh agama, kitab suci dan ajaran mana-mana agama tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka yang menghina atau berunsur lucah, lebih-lebih lagi di pentas politik nasional.
“Saya sebagai seorang penganut Katolik amat kesal dan tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut,” katanya.
“Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum dan agama, justeru perkara berkaitan agama perlu ditangani dengan penuh hormat,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah menunjukkan contoh jelas dalam menghormati dan menjaga kepentingan masyarakat bukan Islam melalui penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
Katanya, UNIFOR menyalurkan bantuan kewangan bagi pembinaan, pembaikan dan naik taraf rumah ibadat bukan Islam serta membantu sekolah mubaligh di Sarawak.
“Pada tahun 2026 sahaja, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM90 juta kepada rumah ibadat bukan Islam dan RM30 juta kepada sekolah mubaligh,” katanya.
“Ini membuktikan keharmonian agama bukan sekadar slogan, tetapi diterjemahkan melalui dasar, institusi dan peruntukan sebenar,” katanya.
Gira berkata pemimpin politik dari Semenanjung Malaysia wajar mengambil iktibar daripada Sarawak dan Sabah mengenai cara masyarakat berlainan agama, kaum dan budaya boleh hidup bersama dengan penuh hormat.
Katanya, masyarakat Sarawak mengamalkan semangat saling menghormati termasuk ketika menyambut perayaan, mengunjungi rumah ibadat dan mengekalkan hubungan persaudaraan tanpa mengira latar belakang.
“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya mencontohi semangat masyarakat Sarawak dalam memelihara keharmonian negara,” katanya.
“Sekiranya ucapan yang menghina agama dan membangkitkan sentimen perkauman terus dibiarkan, kita sedang membiakkan budaya kebencian yang boleh memecahbelahkan rakyat serta mencemarkan nama Malaysia di mata dunia,” katanya.
Beliau turut menegaskan politik tidak seharusnya dibina atas penghinaan, ketakutan atau kebencian terhadap kaum dan agama lain.
Gira berkata prinsip Rukun Negara, khususnya Kepercayaan kepada Tuhan serta Kesopanan dan Kesusilaan, perlu terus dipertahankan demi memastikan Malaysia kekal aman, bersatu dan saling menghormati.




