ARTIKEL

Kehebatan Makarion FC sukar ditandingi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Kelab handalan dari Saratok, Makarion FC, melakar sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul kejuaraan Liga Betong 2026.

Pasukan pilihan ramai itu berjaya menumpaskan Hermanos FC dengan jaringan 3-0 dalam aksi akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Betong baru-baru ini.

Penyerang berpengalaman, Mohammad Zainuddin Bohri, antara pemain yang mencuri tumpuan apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-83 dan ke-90.

Beliau turut dinobatkan sebagai penjaring terbanyak bersama-sama penyerang Hermanos FC, Mohd. Zulfadli Tahir, dengan masing-masing menghasilkan sembilan gol sepanjang kejohanan.

Satu lagi gol Makarion FC dijaringkan oleh Paul Sambang pada minit ke-52.

Kejayaan tersebut membolehkan Makarion FC membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 berserta piala dan pingat.

Hermanos FC selaku naib juara pula menerima hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 berserta piala dan pingat.

Sementara itu, Crossover FC dan Pusa District FC yang tewas pada peringkat separuh akhir masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,000 berserta pingat sebagai pemenang tempat ketiga bersama.

Dalam pada itu, penjaga gol Makarion FC, Mohammad Alfaiza Mohd. Zolkifli, dipilih sebagai penerima Anugerah Pemain Terbaik.

Penyerang muda Makarion FC, Samuel Shane Graman, pula dipilih sebagai penerima Anugerah Pemain Harapan Bawah 19 Tahun.

Semua penerima anugerah berkenaan membawa pulang piala dan hadiah wang tunai RM200.

Dalam pada itu, majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr. Richard Rapu @ Aman Begri.

Turut hadir ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA), Azmi Abdullah, serta barisan ahli jawatankuasa eksekutif persatuan.

Mengulas mengenai penganjuran liga berkenaan, Dr. Richard melahirkan rasa teruja atas kejayaan jawatankuasa pengelola menganjurkan kejohanan tersebut.

Beliau menyifatkan penganjuran Liga Betong 2026 sebagai amat bertepatan kerana bukan sahaja memberikan peluang kepada para pemain untuk mengetengahkan bakat, malah secara tidak langsung menjadi pentas untuk melahirkan pemain baharu yang berbakat.

“Syabas dan tahniah kepada BDFA selaku jawatankuasa pengelola kerana berjaya menganjurkan Liga Betong 2026.

“Saya percaya kejohanan seperti ini mampu mencungkil dan melahirkan lebih ramai pemain baharu yang berbakat,” katanya.

Sementara itu, Azmi Abdullah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan dan kerjasama yang diberikan kepada pihaknya.

“Saya mewakili badan induk bola sepak Bahagian Betong, BDFA, ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan dan kerjasama yang diberikan selama ini.

“Kami berharap kerjasama ini akan terus berkekalan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua wakil rakyat di Bahagian Betong atas sokongan yang diberikan.

Menurut Azmi, penganjuran Liga Betong 2026 merupakan antara aktiviti tahunan BDFA.

“Liga ini merupakan antara aktiviti BDFA pada tahun ini. Beberapa kejohanan lain juga akan dilaksanakan selepas ini,” katanya.

Aktiviti tersebut merangkumi penganjuran kejohanan futsal serta beberapa kursus berkaitan kejurulatihan, pengadilan dan bidang lain yang berkaitan.

Kempen Liga Betong 2026 disertai oleh lapan pasukan. Empat pasukan lain yang turut mengambil bahagian ialah KSRB Bungin, Spaoh FC, Bijat FC dan Jabatan Tanah dan Survei Betong.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU