KUCHING: Berhubung insiden letupan kecil di Taman Perindustrian Samalaju yang dilaporkan petang tadi, OM Materials (Sarawak) Sdn Bhd telah mengeluarkan satu kenyataan.
Di bawah adalah terjemahan bagi kenyataan tersebut:
“OM Materials (Sarawak) Sdn Bhd mengesahkan satu insiden telah berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi di kemudahan kami di Taman Perindustrian Samalaju. Kejadian itu melibatkan limpahan bahan cair dari acuan tuangan, yang menyebabkan letupan setempat di dalam bengkel relau yang terjejas.
Tindak Balas Segera dan Protokol Keselamatan:
Protokol tindak balas kecemasan telah diaktifkan serta-merta dan semua kakitangan dalam kawasan yang terjejas telah dipindahkan dengan selamat ke zon yang telah ditetapkan. Kami dengan sukacitanya mengesahkan bahawa tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku dalam kejadian itu. Kerosakan yang dialami adalah kecil dan operasi dijangka disambung semula dengan gangguan minimum.
Pihak Berkuasa dan Penyiasatan:
Pihak berkuasa yang berkaitan telah dimaklumkan dengan segera. Syarikat kami sudah memulakan siasatan terperinci tentang kejadian itu.
Komitmen kepada Keselamatan dan Ketelusan:
Keselamatan pekerja kami tetap menjadi keutamaan tertinggi kami dan kami komited sepenuhnya untuk melindungi kesejahteraan pekerja, kontraktor dan masyarakat di sekeliling kami. Kami akan menyampaikan maklumat terkini apabila maklumat selanjutnya diperoleh selari dengan kemajuan penyiasatan.
Kami mengucapkan terima kasih kepada pasukan tindak balas kecemasan, pekerja dan pihak berkuasa tempatan atas tindakan pantas dan kerjasama mereka semasa kejadian ini.
Kami menghargai kefahaman dan kerjasama orang ramai. Maklumat yang dikemas kini akan diberikan melalui saluran komunikasi rasmi kami.”
Kenyataan tersebut telah diluluskan dan ditandatangani Pengurus Pentadbiran Kanan OM Materials (Sarawak) Sdn Bhd, Chieng King Tung.


