KUCHING: Kejayaan Belanjawan 2027 tidak boleh diukur berdasarkan besarnya jumlah peruntukan semata-mata, sebaliknya bergantung pada sejauh mana setiap dasar dan perbelanjaan dapat diterjemahkan kepada perubahan sebenar dalam kehidupan rakyat.
Profesor Madya (Pengurusan) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Aila Abdul Latif berkata, ukuran terpenting ialah sama ada wang awam itu mampu menjadikan kehidupan rakyat lebih selamat, terjamin dan bermaruah.
Menurutnya, belanjawan itu memperlihatkan usaha mengimbangi keperluan segera rakyat dengan kesinambungan pembangunan negara, namun keberkesanannya bergantung pada pelaksanaan.
“Harapan terhadap gaji, kesihatan, bantuan sosial serta pembangunan desa dan wilayah perlu disertai perhatian terhadap keselamatan kewangan, jenayah dan kelemahan pelaksanaan yang boleh menghakis manfaat dasar.
“Kemakmuran bukan hanya tentang berapa banyak yang dibelanjakan, tetapi sejauh mana setiap ringgit melindungi kehidupan, memperluas peluang dan membina keyakinan masyarakat terhadap institusi negara.
“Belanjawan yang baik memerlukan bukan sahaja perancangan bijak, tetapi juga pengurusan dan kawalan yang cekap serta keupayaan mengenal pasti masalah sebelum menjadi krisis untuk membawa negara ke destinasi yang diharapkan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, semalam.
Menurutnya, beberapa pengumuman dalam belanjawan berkenaan menyentuh secara langsung persoalan pendapatan, kesihatan, pembangunan wilayah dan keselamatan, dengan sebahagiannya memberi kelegaan segera manakala yang lain membuka ruang kepada kemajuan jangka panjang.
“Dalam aspek pendapatan, kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 mulai Jun 2027 dan peluasan pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 memberi kesan langsung kepada pekerja dan pembayar cukai.
“Bagi pekerja bergaji rendah, tambahan pendapatan boleh membantu menampung keperluan asas, manakala pelepasan cukai memberi ruang penjimatan kepada golongan yang layak,” ujarnya.
Bagaimanapun jelasnya, peningkatan pendapatan tidak semestinya bermakna kuasa beli bertambah sekiranya harga barangan dan kos perkhidmatan turut meningkat.
“Ukuran sebenar bukan sekadar jumlah kenaikan, tetapi sejauh mana wang yang tinggal selepas membayar makanan, perumahan, pengangkutan dan pendidikan mampu meningkatkan kualiti hidup keluarga,” katanya.
Beliau turut melihat pengiktirafan terhadap pekerja gig dan mereka yang tidak mempunyai perlindungan pekerjaan tradisional sebagai satu perkembangan penting.
Selain itu katanya, bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan bantuan khas kewangan kepada pesara kerajaan turut membantu meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah serta warga emas.
“Bagaimanapun, bantuan sekali beri tidak sama dengan peningkatan pendapatan tetap dan tidak semestinya dapat mengimbangi kenaikan kos makanan, ubat-ubatan serta penjagaan dalam jangka panjang.
“Pada masa sama, golongan berkenaan perlu dilindungi daripada penipuan kewangan yang semakin menggunakan teknologi, kepercayaan dan kesempitan hidup untuk memperdaya mangsa,” jelasnya.
Mengulas peningkatan peruntukan Persekutuan untuk Sarawak kepada RM16.2 bilion bersama pelaburan infrastruktur jalan raya, beliau berkata perkara itu menunjukkan kesinambungan usaha memperkukuh keterhubungan negeri.
“Bagi negeri seluas Sarawak dengan komuniti yang berjauhan, jalan raya bukan sekadar kemudahan pengangkutan tetapi penghubung kepada sekolah, hospital, pasaran dan peluang pekerjaan.
“Kemajuan Lebuhraya Trans-Borneo termasuk laluan yang melibatkan Miri, Limbang dan Lawas perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang untuk membina ekonomi wilayah yang lebih terhubung dan berdaya saing,” katanya.
Namun, beliau berkata pembangunan Sarawak perlu bergerak melangkaui penyediaan kemudahan fizikal kepada peningkatan kesejahteraan manusia.
“Usaha memperkukuh prasarana desa, bekalan asas dan capaian digital akan lebih bermakna jika penduduk pedalaman dapat menikmati pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan peluang ekonomi tanpa menanggung kos perjalanan yang terlalu tinggi,” tegasnya.
Menurutnya, peluang pendidikan tinggi kepada pelajar Sarawak dan Sabah juga merupakan pelaburan modal insan yang penting, tetapi mesti disertai latihan yang relevan dengan keperluan pasaran serta peluang pekerjaan selepas tamat pengajian.
Katanya, pembangunan hanya benar-benar berjaya apabila kemajuan bandar turut membuka ruang kepada komuniti yang selama ini berdepan kekangan geografi dan akses.



