BINTULU: Kejayaan dalam perjuangan politik tidak akan tercapai tanpa kesepaduan dan kerjasama yang erat antara ahli parti.
Sehubungan itu, Timbalan Yang DiPertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, menyeru ahli PBB, khususnya dari Cawangan N.67 Jepak, untuk menghindari perpecahan dan pembentukan kumpulan-kumpulan tertentu yang hanya akan merosakkan kekuatan parti.
Dalam ucapannya semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan Cawangan PBB N.67 Jepak bagi sesi 2024-2027 di sebuah hotel di sini pada Ahad, beliau menegaskan pentingnya perpaduan dalam mencapai kejayaan.
“Bukan mudah untuk mencapai kejayaan, oleh itu, kita perlu bersatu padu dan bekerjasama.
“Jangan ada puak-puak, jangan ada kumpulan ini atau kumpulan itu, kerana ia hanya akan merosakkan parti kita.
“Kita perlu bersyukur kerana melalui perpaduan, Gabungan Parti Sarawak(GPS) kini menjadi tonggak kekuatan politik di negeri ini, dengan PBB sebagai terasnya,” kata Awang Tengah.
Beliau, yang juga Timbalan Premier Sarawak, menegaskan bahawa perpaduan dalam parti adalah kunci untuk menghadapi cabaran politik dan pembangunan yang semakin kompleks.
“Ahli PBB perlu terus berkomitmen dan berusaha tanpa henti demi kemajuan Sarawak,” tambahnya.
Awang Tengah turut memuji peranan PBB yang kini menjadi tonggak kekuatan utama dalam GPS, dan fokus kepada usaha pembangunan negeri.
Dalam pada itu, beliau mengimbas kembali perubahan politik setelah Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan selepas Pilihan Raya Umum 2018, yang menyaksikan Sarawak pertama kali berada di bawah pembangkang.
Akibatnya, banyak projek pembangunan yang telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu dibatalkan, termasuk projek Jambatan Kemena yang sangat penting bagi pembangunan kawasan tersebut.
Justeru itu, tegasnya, tanpa kesatuan yang utuh, segala usaha pembangunan dan kemajuan akan terjejas, dan ahli PBB perlu terus bersatu demi masa depan Sarawak yang lebih gemilang.





