ARTIKEL

Kejayaan SIP jadi rujukan pembangunan kawasan perindustrian Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SUZHOU: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan mengadakan mesyuarat khas bagi merangka hala tuju baharu pembangunan kawasan perindustrian di negeri itu dengan menjadikan pengalaman serta kejayaan pembangunan Taman Perindustrian Suzhou (SIP) sebagai rujukan.

Beliau berkata, lawatan ke SIP memberi inspirasi dalam merangka pembangunan kawasan perindustrian khususnya bagi Hab Rendah Karbon Kuching (KLCH) berhampiran Tanjung Embang agar sejajar dengan keperluan ekonomi masa depan.

“Apabila pulang nanti, saya akan memanggil mesyuarat khas.

Sekitar lawatan Abang Johari yang diiringi Ibrahim Baki serta pengurusan PETROS ke Pusat Pameran Taman Perindustrian Suzhou.

Saya mempunyai idea tentang apa yang perlu dilakukan menerusi laluan yang kita cadangkan.

“Bukan seperti apa yang saya bayangkan pada peringkat awal, tetapi selepas lawatan ini, ia akan menjadi sesuatu yang berbeza dan akan sejajar bukan sahaja dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 tetapi juga dengan ekonomi baharu serta industri masa depan. Jadi, kita akan menuju ke arah industri masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Golden Concord Ltd. (GCL) selepas mengadakan lawatan kerja rasmi bersama-sama pengurusan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) ke SIP dan ibu pejabat GCL di sini, hari ini.

Sekitar lawatan Abang Johari yang diiringi Ibrahim Baki serta pengurusan PETROS ke Golden Concord Ltd. (GCL).

Mengiringi beliau ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Komunikasi (Utiliti) Datuk Ibrahim Baki, Pengerusi PETROS Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS Dato Janin Girie, Naib Presiden Kanan Pertumbuhan PETROS Datuk Joseph Podtung serta Naib Presiden Kanan Modal Insan, Perhubungan Korporat dan Perkhidmatan PETROS, Ismail Said.

Menurut Abang Johari, SIP yang bermula hasil kerjasama China–Singapura sejak 30 tahun lalu telah mengubah sebuah perkampungan kecil menjadi taman industri moden dan bandar maju yang lengkap dengan kemudahan bertaraf dunia serta menjadi lokasi pilihan syarikat antarabangsa.

Tambah beliau, SIP turut menjadikan Suzhou sebagai salah satu daripada tiga wilayah yang berjaya menyumbang secara signifikan kepada trajektori Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China.

Abang Johari disambut oleh Pengerusi GCL International, Huang Yueyuan semasa bersama-sama Ibrahim Baki (empat kiri), pengurusan PETROS dan delegasi yang lain melawat ke ibu pejabat GCL, hari ini.

“Dengan latar belakang ini, kami mempelajari bagaimana mereka memulakan langkah daripada kosong sehingga mencapai kedudukan sekarang.

Tanjung Embang juga merupakan sebuah kampung yang sangat kecil, hanya mempunyai sekitar 200 penduduk di Kampung Beliong.

“Jadi, apa yang kita lakukan adalah mengenal pasti kawasan itu sebagai pusat untuk menarik teknologi terkini khususnya dalam era Kecerdasan Buatan (AI).

Dengan infrastruktur yang dipertingkatkan serta sumber sedia ada, saya fikir kita sedang memasuki fasa ekonomi moden,” katanya.

Abang Johari turut menjelaskan bahawa memandangkan Suzhou dan Sarawak berada dalam era yang berbeza, maka pendekatan membangunkan kawasan berkenaan juga akan disesuaikan mengikut keperluan semasa.

“Kita perlu menyesuaikannya dengan keperluan ekonomi baharu.

Pada asasnya, kawasan kita akan berkarbon rendah dan berteknologi tinggi.

Malah, gas kita akan digunakan untuk industri rendah karbon dengan menjadikannya sebagai sumber tenaga.

“Sekiranya itu berlaku, saya percaya kita akan menjadi destinasi yang menarik dalam ASEAN untuk menarik pelaburan asing ke kawasan tersebut,” katanya.

Mengenai pertemuan dengan Datuk Bandar Kerajaan Perbandaran Suzhou, Wu Qingwen di Pusat Persidangan Suzhou, Abang Johari berkata pertemuan rasmi itu berlangsung dengan jayanya dan membuka ruang kerjasama baharu antara SIP dan KLCH yang bakal dibangunkan bersama China Jiangsu International (CJI).

“Dalam erti kata lain, kita boleh melihat masa depan dalam ASEAN dan melangkaui rantau ini.

“Itulah sebabnya saya rasa kita perlu menyusun semula strategi selepas melihat semua ini kerana aspirasi kita adalah untuk menjadi bintang ASEAN memandangkan kini kita sedang berhubung dengan negara anggota lain.

“Perkara utama ialah kita mempelbagaikan aktiviti ekonomi menggunakan tenaga bersih dan tenaga boleh diperbaharui sebagai sumber bagi menghasilkan produk moden,” katanya.

SIP merupakan taman perindustrian bertaraf dunia yang terletak di Suzhou, Wilayah Jiangsu, China yang dibangunkan melalui projek kerjasama strategik China-Singapura pada 1994, menjadikannya antara model pembangunan taman industri paling berjaya di dunia.

Model pembangunan itu kini dijadikan rujukan oleh banyak negara dan wilayah termasuk Sarawak bagi membangunkan hab industri moden seperti KLCH.

Sementara itu, GCL ialah syarikat teknologi tenaga baharu dan bersih yang memberi tumpuan kepada pengembangan tenaga boleh diperbaharui serta bahan teknologi maju yang mempunyai pusat operasi dan fasiliti di SIP.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU