ASAJAYA: Kejohanan Badminton YB Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah Edisi Ketujuh akan membuka penyertaan kepada pemain wanita.
Perubahan ini akan menyaksikan tiga kategori berasingan, iaitu veteran, terbuka dan wanita, dilangsungkan pada pertandingan itu kelak.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pembabitan peserta dalam edisi lalu menjadi penggalak kepada pelaksanaan kejohanan secara lebih besar.
“Kelab Badminton Kampung Tambey mahu memanjangkan lagi acara pertandingan di masa akan datang bukan saja untuk kaum lelaki tapi turut dibuka untuk wanita.
“Cadangan ini bukan saja memberi keceriaan kepada peminat-peminat badminton di kampung ini, malah menarik minat peserta dari luar, khususnya di Kuching dan sebagainya,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Dalam perkembangan sama, Karim turut memaklumkan bahawa kejohanan badminton itu merupakan antara tumpuan utama pemain dan peminat bulu tangkis di sekitar kawasan Asajaya dan Samarahan.
“Pada tahun ini, acara tahunan ini telah mendapat begitu banyak penyertaan, dengan membabitkan kira-kira 50 beregu telah mendaftar, dan pada hari kemuncaknya, saya dapat melihat lebih satu kampung penduduk hadir menyaksikan pertandingan.
“Justeru, saya amat menggalakkan penganjuran kejohanan ini dalam usaha menarik minat pemain badminton di kawasan kampung selain dapat mengeratkan silaturahim sama ada antara agensi kerajaan dan sesama penduduk kampung itu sendiri,” katanya.
Selain itu, beliau percaya kejohanan itu berpotensi untuk diperbesarkan dan dibuka secara lebih meluas kepada warga Sarawak suatu hari nanti.
Untuk itu, katanya, rancangan untuk memperbesarkan dewan badminton sedang giat dilaksanakan.

