KUCHING: Pasukan Sigma Abadi berjaya merangkul gelaran juara Kejohanan Boling Padang Sosial Syawal Terbuka Tiga Berpasangan (Triples) Persatuan Boling Padang Sarawak (SALBA) 2025.
Skuad Sigma yang diperkuat barisan pemain berpengalaman yang juga bekas atlet skuad Sukma Sarawak iaitu Mohd. Aryan Nazrullah Nazaruddin, Mohd. Aieman Syafiq dan Muhd. Zikrullah Zaidi cemerlang sepanjang dua hari (19-20 April) kejohanan itu berlangsung.
Ia sekali gus menyaksikan kesemua pemain terbabit membawa pulang wang tunai dan hamper.
Sementara itu, tempat kedua disandang oleh pasukan Ulekk, sambil pasukan M66 dan Gaban masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat.

Kesemua tiga pasukan terbabit menerima hadiah wang tunai dan hamper.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Presiden SALBA, Nuruljumaniza Tuah.
Sebanyak 15 pasukan turut serta dalam kejohanan anjuran SALBA itu bertempat di Arena Boling Padang Sarawak, Petra Jaya.

