KUCHING: Skuad kriket wanita Sarawak muncul naib juara Kejohanan Kriket, Persatuan Kriket Malaysia (MCA) Bawah 19 Tahun T10 Antara Negeri 2023.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semalam, Sarawak tewas dengan 10 wiket menentang Johor selaku juara.
Presiden Persatuan Kriket Sarawak (SCA), Awang Mahyan Awang Mohammed nyata gembira dengan pencapaian hebat dipamer para pemain meskipun sekadar bergelar naib juara.
“Pencapaian cukup hebat bagi skuad kriket wanita Sarawak apabila sekadar menduduki tempat kedua.
“Ia merupakan perkembangan positif ke arah pembangunan sukan kriket di negeri ini,” ujar Mahyan kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau turut mengucap syabas dan tahniah kepada semua pemain atas kejayaan mengharumkan nama Sarawak.
Menurut Mahyan, pasukan Sarawak berjaya memberi tentangan sengit kepada Johor yang turut diperkuat beberapa pemain kebangsaan dan pemain import dari Thailand.



