BINTULU: Kejohanan Olahraga 12 Tahun Ke Bawah Majlis Sukan Sekolah Rendah (MSSR) Bahagian Bintulu bukan sekadar medan persaingan sukan, malah berperanan sebagai platform penting untuk mencungkil dan membangunkan bakat atlet muda yang berpotensi mewakili Sarawak pada masa hadapan.
ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, kejohanan yang menghimpunkan atlet dari daerah Bintulu, Tatau/Sebauh dan Belaga itu menjadi pentas terbaik untuk mengenal pasti bakat baharu dalam pelbagai acara olahraga.

Menurut beliau, usaha pembangunan sukan perlu bermula sejak usia muda kerana pendedahan awal mampu membantu melahirkan atlet yang berdaya saing dan memiliki asas yang kukuh untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi.
“Setiap atlet yang bertanding di sini mempunyai potensi tersendiri. Kejohanan seperti ini memberi peluang kepada mereka untuk menyerlahkan bakat, meningkatkan keyakinan diri dan membina pengalaman berharga dalam suasana pertandingan sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Kejohanan Olahraga 12 Tahun Ke Bawah MSSR Bahagian Bintulu Kali Ke-23 Tahun 2026 di Stadium Bintulu pada Khamis.
Menurutnya, kejayaan melahirkan atlet cemerlang bukan hanya bergantung kepada bakat semula jadi, tetapi memerlukan disiplin, latihan berterusan, semangat juang serta sokongan padu daripada guru, jurulatih dan ibu bapa.
Sehubungan itu, beliau berharap atlet yang dipilih mewakili Bahagian Bintulu ke Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Sarawak (MSS Sarawak) akan terus mempertingkatkan prestasi dan memanfaatkan peluang yang diberikan untuk mengharumkan nama bahagian serta negeri.




