KOTA SAMARAHAN: Kira-kira 500 peserta daripada sembilan pasukan menyertai Kejohanan Silat Jemputan Pendekar Muda 2026 Edisi Ke-2: Piala Datuk Hamzah Brahim yang berlangsung semalam.
Kejohanan itu turut disertai peserta seawal usia empat tahun sekali gus membuktikan seni mempertahankan diri silat terus mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.

Penganjuran kejohanan itu bukan sahaja menjadi medan menguji kemahiran dan bakat pesilat, malah turut berperanan membentuk disiplin, keyakinan diri serta jati diri peserta.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, golongan muda yang mendalami ilmu persilatan perlu memastikan pendidikan tidak diabaikan kerana pelajaran tetap menjadi keutamaan sebagai bekalan masa depan.
Katanya, silat penting dalam membentuk kekuatan fizikal dan mental, namun pelajaran tetap menjadi keutamaan.
“Ilmu persilatan bukan sekadar mengajar kita mempertahankan diri, tetapi juga mendidik kita tentang adab, disiplin dan rasa hormat kepada orang lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Tambahnya, beliau berharap kejohanan itu bukan sahaja menjadi medan menguji kemahiran dan bakat pesilat, malah platform mengeratkan hubungan persaudaraan antara pasukan serta melahirkan generasi muda yang berdisiplin, berilmu dan berakhlak mulia.
Dalam pada itu, Hamzah turut mengucapkan tahniah kepada semua pemenang atas kejayaan yang diraih serta merakamkan penghargaan kepada seluruh peserta yang menunjukkan semangat kesukanan, disiplin dan keberanian sepanjang kejohanan.
Peserta yang belum berjaya pula dinasihatkan supaya tidak berputus asa, sebaliknya menjadikan pengalaman itu sebagai pembakar semangat untuk terus memperbaiki prestasi pada masa akan datang.





