SARATOK: Seramai 100 petinju akan berentap memburu kejuaraan pada Kejohanan Tinju Bakat, Junior dan Remaja Jemputan Peringkat Negeri Sarawak 2026 yang akan berlangsung di Pentas Utama Sri Kalaka, Saratok bermula 4 hingga 9 Mei ini.
Kesemua peserta mewakili pelbagai kelab, pusat pembangunan, pusat cemerlang dan pusat elit dari seluruh Sarawak.
Pengerusi Kejohanan, Joseph Anak Harry berkata, kejohanan tersebut dianjurkan oleh Joseph Harry Boxing Club (JHBC) Saratok dengan kerjasama Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA).
Katanya, kejohanan selama enam hari itu dijangka meriah mengambil kira pembabitan petinju muda daripada pelbagai peringkat umur.
Menurut Joseph, sebanyak 12 kategori dipertandingkan pada kejohanan kali ini yang mencakupi pecahan umur berbeza.
“Antara kategori yang dipertandingkan ialah Minimum Weight (40kg), Fly Weight (44kg), Bantam Weight (46kg), Feather Weight (48kg), Light Weight (50kg), Light Welter Weight (52kg), Welter Weight (54kg), Light Middle Weight (57kg), Middle Weight (60kg), Light Heavy Weight (63kg), Heavy Weight (67kg) dan Super Heavy Weight (71kg),” ujarnya kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau menambah, kategori yang dipertandingkan melibatkan petinju berumur antara 10 hingga 21 tahun.
Dalam pada itu, Presiden SABA, Dato Rahman Lariwoo menyambut baik usaha yang dilakukan kelab terbabit dalam mengelola kejohanan berkenaan.
Katanya, usaha tersebut dilihat amat bertepatan kerana secara tidak langsung dapat memperkasakan pembangunan sukan tinju bukan sahaja di kawasan Saratok, malah di seluruh Sarawak.
“Langkah yang amat tepat dengan penganjuran kejohanan ini kerana kita percaya ia memberi peluang kepada petinju terlibat untuk memperlihatkan bakat masing-masing,” ujar Rahman.
Beliau mengakui, pengelolaan kejohanan seperti itu pada dasarnya dapat melahirkan petinju berbakat dari pelbagai peringkat umur.
“Inilah kerangka terbaik bagi mengenal pasti petinju berbakat di peringkat akar umbi, sekali gus berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.



