BINTULU: Isu penerbangan dan kenaikan harga tiket bagi laluan Bintulu–Kuala Lumpur dijangka berkurangan apabila kekerapan penerbangan ditingkatkan kepada dua kali sehari bermula 20 Julai ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, langkah itu dicapai hasil perbincangan serta penyelarasan berterusan bersama dengan syarikat penerbangan Batik Air yang bersetuju menambah satu lagi penerbangan harian di laluan berkenaan.
Menurut beliau, penambahan tersebut memberikan pilihan lebih luas kepada penumpang dengan jadual penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bintulu pada 10 pagi dan 2.30 petang, manakala dari Bintulu ke Kuala Lumpur pada jam 1.10 tengah hari dan 5.40 petang.
“Pada asalnya saya memohon penambahan dua penerbangan harian. Namun selepas rundingan, syarikat bersetuju melaksanakan terlebih dahulu satu penerbangan tambahan secara tetap dengan slot masa yang sesuai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, jika permintaan terus meningkat, kemungkinan untuk menambah lagi kekerapan sehingga tiga kali sehari tidak ditolak.
Tiong berkata, pertumbuhan pesat ekonomi di Bintulu meningkatkan keperluan perjalanan bagi tujuan perniagaan, pendidikan, rawatan kesihatan serta pelancongan, sekali gus menuntut kapasiti penerbangan yang lebih stabil dan mencukupi.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa syarikat penerbangan memastikan operasi yang lebih stabil termasuk mengelakkan pembatalan atau perubahan jadual saat akhir yang boleh menjejaskan perancangan penumpang.
Beliau juga menekankan kepentingan mengekalkan tambang yang berpatutan selaras dengan keadaan pasaran bagi mengurangkan beban pengguna.
“Penambahan ini bukan sahaja mengurangkan isu kekurangan tempat duduk, malah membantu memudahkan pergerakan rakyat di antara Bintulu dengan Semenanjung Malaysia,” katanya.



