BINTULU: Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) sekali lagi mengharumkan nama negara apabila Kelab MSAE-SC UPMKB meraih pencapaian cemerlang dalam 11th Southeast Asian Agricultural and Food Engineering Student Chapter Annual Regional Convention (ARC2025) yang berlangsung di Maejo University, Thailand, dari 23 Februari hingga 8 Mac lalu.
Seramai 12 pelajar UPMKB, yang diketuai oleh penasihat kelab Dr. Nor Hanifawati Binti Inai, telah menyertai konvensyen ini dengan diiringi oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, Dr. Juniza Md Saad, serta dua pensyarah Jabatan Sains dan Teknologi, Ts. Gs. Dr. Hajjah Wan Nor Zanariah Zainol @ Abdullah dan Ts. Dr. Nozieana Khairuddin.

Dalam pertandingan Media Technical Tour, pelajar UPMKB, Low Zi Yan, berjaya meraih Anugerah Emas, manakala Zackery Haqeem bin Jaidi membawa pulang Anugerah Perak.
Kejayaan diteruskan dalam MyCobot Challenge, di mana pasukan yang dianggotai oleh Tan Yu Xian, Low Zi Yan, dan Docnel Inting Anak Edwine memenangi Anugerah Perak.
Selain itu, empat pasukan UPMKB turut berjaya meraih Anugerah Gangsa dalam pertandingan Interactive Poster Competition, mengukuhkan lagi reputasi universiti dalam bidang inovasi pertanian dan kejuruteraan makanan.
Menurut UPMKB, pencapaian ini mencerminkan komitmen institusi dalam melahirkan pelajar yang berdaya saing dan inovatif di peringkat antarabangsa.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa pelajar UPMKB memiliki daya saing yang tinggi dalam bidang kejuruteraan pertanian dan teknologi makanan.
“Penglibatan mereka dalam ARC2025 bukan sekadar pertandingan, tetapi juga satu bentuk pembelajaran aktif yang memberi pengalaman mendalam mengenai inovasi teknologi pertanian,” kata UPMKB dalam satu kenyataan.
ARC2025 turut menghimpunkan universiti terkemuka ASEAN seperti Maejo University, Universitas Gadjah Mada, Universitas Brawijaya, serta institusi Malaysia seperti UPM Kampus Serdang, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), UiTM Jasin, dan Politeknik Kota Bharu.
Selain pertandingan, program ini juga menawarkan aktiviti mobiliti termasuk lawatan industri, bengkel robotik, serta sesi praktikal dalam pemprosesan makanan dan pertanian.
Kejayaan UPMKB menjadi lebih manis apabila Tan Yu Xian memenangi Anugerah Best Performance untuk Robotic Workshop serta Anugerah Best Presenter untuk Agricultural Engineering Workshop.
Program yang berlangsung selama 14 hari ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar dalam bidang kejuruteraan pertanian dan teknologi makanan, selain memperkukuhkan hubungan akademik antara universiti serantau.
UPMKB berharap kejayaan ini akan terus menjadi pemangkin kepada lebih banyak penyertaan di peringkat antarabangsa serta membuktikan bahawa institusi tersebut berada di landasan yang tepat dalam membangunkan modal insan yang kompetitif dalam sektor pertanian dan makanan.
“Kami akan terus menyokong dan menggalakkan penyertaan pelajar dalam program antarabangsa seperti ini, sejajar dengan visi UPM untuk menjadi universiti bertaraf dunia yang memberi impak kepada masyarakat,” tambah kenyataan itu lagi.


