ARTIKEL

LAWAT... Fatimah bersama-sama tetamu lain mengadakan lawatan ke Pusat Pemprosesan Baja Dalat hari ini.

Keladi bunting kini jadi sumber rezeki komuniti Dalat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DALAT: Kehadiran keladi bunting atau ‘teparok’ yang sering menjadi masalah kepada penduduk di Dalat sebelum ini, kini bertukar menjadi punca rezeki.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, melalui inovasi, teknologi dan kerjasama strategik, masalah tersebut berjaya diubah menjadi peluang ekonomi.

“Selama bertahun-tahun, teparok menjadi cabaran utama kepada penduduk kerana tumbuhan itu tumbuh tidak terkawal dalam kuantiti yang sangat banyak.

“Kehadirannya mengganggu laluan sungai, aktiviti nelayan, pengangkutan sungai serta menjejaskan keseimbangan ekosistem sungai.

“Alhamdulillah, kini tumbuhan tersebut berjaya ditukar menjadi sumber yang bernilai melalui projek pemprosesan baja organik dan makanan ternakan dengan penggunaan teknologi Lalat Askar Hitam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Prapelancaran Pusat Pemprosesan Baja Dalat di Kompleks Kebajikan Dalat, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, teparok dapat diproses dengan lebih cekap untuk menghasilkan makanan ternakan berasaskan protein alternatif serta baja organik yang berkualiti.

Jelasnya, proses pereputan secara semula jadi teparok mengambil masa sehingga tiga bulan, namun penggunaan larva Lalat Askar Hitam mampu mempercepat proses tersebut.

“Pendekatan ini bukan sahaja membantu membersihkan sungai dan mengurangkan pencemaran, malah mewujudkan rantaian ekonomi baharu yang memberikan manfaat secara langsung kepada komuniti setempat.

“Projek ini juga membuka peluang ekonomi kepada penduduk tempatan kerana aktiviti penuaian dan penjualan teparok serta penglibatan dalam operasi pemprosesan mewujudkan sumber pendapatan tambahan kepada komuniti.

RASMI… Fatimah menyempurnakan gimik perasmian Pusat Pemprosesan Baja Dalat pada majlis tersebut.

“Peluang ini memberi ruang kepada penglibatan wanita, belia dan isi rumah dalam aktiviti ekonomi yang produktif, yang secara tidak langsung membantu meningkatkan pendapatan keluarga, memperkukuh kesejahteraan sosial serta memperkasakan komuniti luar bandar,” jelasnya lagi.

Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat turut berharap agar model yang dibangunkan di Dalat ini menjadi pemangkin dan diperluaskan ke kawasan lain yang berhadapan dengan cabaran serupa.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada PETRONAS, Pejabat Daerah Dalat, Koperasi Lestari Dalat dan semua rakan strategik atas komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan komuniti secara mampan.

“Kita perlu terus berganding bahu, memperkukuh kerjasama dan memanfaatkan teknologi serta inovasi demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar,” tambahnya.

Turut hadir, ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi; ADUN Tellian, Royston Valentine; Pengurus Besar Kanan Perhubungan Pihak Berkepentingan PETRONAS, Khairuddin Mohd Jaafar dan Pengurus Besar PETRONAS Sarawak, Norazibah Mohd Rabu.

RAKAM KENANGAN… Fatimah merakamkan kenangan bersama-sama tetamu lain selepas majlis tersebut.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU