KUCHING: Taraf kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di Malaysia ditentukan berdasarkan beberapa faktor, termasuk kewarganegaraan ibu bapa ketika kelahiran serta status perkahwinan mereka mengikut undang-undang di negara ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kelahiran di Malaysia tidak secara automatik memberikan kewarganegaraan Malaysia kepada seseorang kanak-kanak.
“Pendaftaran kelahiran di Sarawak dilaksanakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berdasarkan Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Sarawak (Bab 10), yang mewajibkan setiap kelahiran di negeri ini didaftarkan tanpa mengira taraf kewarganegaraan ibu bapa.
“Bagaimanapun, penentuan taraf kewarganegaraan mengambil kira kewarganegaraan ibu bapa ketika kelahiran serta status perkahwinan mereka yang sah dan berdaftar mengikut undang-undang Malaysia.
“Sekiranya ibu bukan warganegara dan bapa warganegara Malaysia, tetapi perkahwinan ibu bapa belum didaftarkan secara sah pada masa kelahiran anak, taraf kewarganegaraan anak adalah mengikut ibu, iaitu bukan warganegara Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Engkelili Johnical Rayong Ngipa pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan DUN Sarawak, di sini, hari ini.
Dari segi pendidikan, Fatimah memberitahu, kanak-kanak yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa kandung warganegara Malaysia layak mendapat akses pendidikan di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan, tertakluk kepada syarat dan prosedur yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Jelasnya, perkara itu tertakluk kepada Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penerimaan Masuk Murid ke Sekolah, Penyimpanan Daftar dan Syarat bagi Pengekalan Murid Belajar di Sekolah) 1998 serta prosedur KPM yang berkuat kuasa.
Beliau turut merujuk kepada Surat Siaran KPM Bilangan 3 Tahun 2018 mengenai Permohonan Kemasukan Sekolah Murid Bukan Warganegara bertarikh 15 Januari 2018.
“Bagi tujuan kemasukan ke sekolah, maklumat ibu atau bapa yang warganegara Malaysia hendaklah tertera dalam sijil kelahiran kanak-kanak berkenaan.
“Justeru, status kewarganegaraan dan akses kepada pendidikan ialah dua perkara yang berbeza.
“Kanak-kanak yang belum berstatus warganegara Malaysia masih boleh mendapat akses kepada pendidikan, tertakluk kepada syarat dan prosedur yang ditetapkan KPM,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, katanya, berdasarkan rekod JPN, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, seramai 224 orang lahir di Sarawak didaftarkan sebagai bukan warganegara.
Ujarnya, faktor utama yang menyebabkan kanak-kanak didaftarkan sebagai bukan warganegara atau diberikan sijil kelahiran berwarna merah jambu ialah perkahwinan ibu bapa yang tidak didaftarkan atau tidak diiktiraf mengikut undang-undang Malaysia.
Faktor lain termasuk ibu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah serta kes kanak-kanak yang dijumpai atau ditinggalkan.
Bagi mengurangkan kes kanak-kanak didaftarkan sebagai bukan warganegara, beliau memberitahu, beberapa langkah dicadangkan, termasuk mengadakan sesi dialog bersama komuniti dan kempen kesedaran bagi menggalakkan pendaftaran perkahwinan secara sah mengikut undang-undang Malaysia.
“Usaha turut merangkumi bantuan kepada ibu yang dilahirkan di Sarawak tetapi tidak mempunyai dokumen pengenalan diri untuk mendapatkan dokumen berkenaan melalui saluran dan prosedur yang ditetapkan.
“Bagi ibu bukan warganegara, pengurusan dan pengemaskinian dokumen perjalanan yang sah perlu diberi perhatian, selain memastikan dokumentasi kelahiran anak diuruskan dengan teratur,” katanya lagi.
Tambahnya, kes kanak-kanak yang dijumpai atau ditinggalkan perlu diselaraskan dengan pihak berkuasa berkaitan, termasuk JPN, bagi memastikan status dan dokumentasi mereka dapat ditentukan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.


