KUCHING: Kelestarian kewangan institusi masjid di Sarawak menjadi fokus utama dalam pertemuan antara kepimpinan Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini.

Dalam pertemuan itu, LAKMNS disaran memperluas kerjasama strategik dengan pelbagai entiti berkaitan bagi membina sumber pendapatan yang lebih mampan dan berdaya tahan dalam jangka panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS, Abdul Hadi Abdul Kadir berkata, pendekatan kolaboratif tersebut penting bagi memastikan institusi masjid tidak hanya bergantung pada sumber tradisional.
“Sebaliknya mampu meneroka model penjanaan baharu yang lebih dinamik,” katanya pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi, hari ini.
Menurut beliau, antara perkara yang dibincangkan termasuk pengurusan dan pemerkasaan aset sedia ada seperti hartanah, dana perkuburan serta operasi masjid utama di bawah pentadbiran LAKMNS di seluruh negeri.
Selain memperkukuh asas kewangan, lembaga itu turut meneliti potensi penglibatan dalam sektor ekonomi hijau yang selari dengan agenda pembangunan lestari Sarawak.
“Masjid perlu dilihat sebagai institusi yang menyumbang kepada pembangunan komuniti secara menyeluruh.
“Jika ada ruang dalam sektor tenaga lestari atau inisiatif hijau yang boleh dimanfaatkan, kita bersedia untuk menerokainya,” katanya.
Beliau menambah, usaha transformasi itu diharap dapat memastikan LAKMNS terus relevan, stabil dan berupaya menyokong pelbagai program kebajikan serta pembangunan ummah secara berterusan.
Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Timbalan Pegawai Eksekutif, Mohamad Feisal Said, bersama pegawai kanan LAKMNS.



