TANJUNG MANIS: Kawasan tanah lembap yang menjadi khazanah alam penting negara kini berada dalam keadaan semakin terancam dan memerlukan tindakan segera serta komitmen berterusan daripada semua pihak bagi memastikan kelestariannya terus terpelihara.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Datuk Yusuf Abd Wahab berkata, usaha melindungi kawasan tersebut tidak boleh dipandang ringan memandangkan peranannya yang amat besar dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem.
Menurutnya, Konvensyen Ramsar diwujudkan sebagai satu inisiatif global untuk memastikan kawasan tanah lembap di seluruh dunia dipelihara secara sistematik dan berterusan.
“Kawasan seperti paya bakau, tasik, sungai, delta serta zon pesisir pantai merupakan antara komponen utama tanah lembap yang mempunyai fungsi kritikal kepada alam sekitar.
“Tanah lembap bukan sahaja menjadi habitat semula jadi kepada pelbagai spesies hidupan, malah berperanan sebagai benteng semula jadi dalam mengurangkan risiko banjir serta membantu menapis air secara semula jadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kempen Kesedaran Awam mengenai Ramsar di Kampung Paloh, di sini hari ini.
Tambahnya, kawasan tersebut juga menyumbang kepada ekonomi masyarakat setempat melalui aktiviti seperti perikanan dan sektor ekopelancongan yang semakin mendapat perhatian.
Namun begitu, beliau mengakui kawasan tanah lembap kini berdepan tekanan serius akibat pembangunan yang tidak terkawal, pencemaran serta kesan perubahan iklim global.
“Sekiranya isu ini tidak ditangani dengan berkesan, kita berisiko kehilangan sumber semula jadi yang amat bernilai untuk generasi akan datang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat agar bersama-sama memainkan peranan dalam memelihara kawasan tanah lembap melalui amalan gaya hidup lestari serta usaha pemuliharaan yang berterusan.

