ARTIKEL

Abdul Karim bercakap pada sidang media Festival dan Simposium Koir Antarabangsa Sarawak (SICFest) 2026 di Bangunan Baitulmakmur II di sini, semalam (UKAS).

Kelewatan, Pembatalan Penerbangan Bukan Hanya Libatkan AirBorneo – Abdul Karim

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: AirBorneo tidak seharusnya dijadikan sasaran tunggal setiap kali berlaku kelewatan atau pembatalan penerbangan kerana masalah sama turut melibatkan syarikat penerbangan yang lain di negara ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tidak adil untuk menyalahkan AirBorneo semata-mata sedangkan gangguan penerbangan yang berlaku ketika ini merupakan isu yang lebih meluas dalam industri penerbangan.

“Perkara seperti ini bukan hanya berlaku kepada AirBorneo. Saya sendiri ada mesyuarat semalam dan dua wakil dari Kuala Lumpur tidak dapat datang kerana penerbangan mereka dibatalkan.

“Jadi, tidak adil jika hanya AirBorneo yang dihentam,” katanya ketika diminta mengulas isu kelewatan dan pembatalan penerbangan yang menimbulkan rungutan pengguna selepas sidang media Festival dan Simposium Koir Antarabangsa Sarawak (SICFest) 2026 di Bangunan Baitulmakmur II di sini, hari ini.

Abdul Karim turut membidas pihak tertentu yang menurutnya terlalu cepat mengkritik AirBorneo walaupun syarikat penerbangan milik Sarawak itu masih berada pada peringkat awal pengoperasian.

“AirBorneo hanya mempunyai tiga pesawat ketika ini. Apa yang mereka jangkakan? Mereka mahu AirBorneo terus menjadi seperti Singapore Airlines?

“Kita baharu hendak berlepas, tetapi sudah dihentam kiri dan kanan. Kalau rasa pandai sangat, cubalah buka syarikat penerbangan sendiri,” katanya.

Menurut beliau, masalah yang berlaku juga tidak seharusnya dilihat secara emosi atau dipolitikkan, sebaliknya perlu diteliti dari sudut keseluruhan industri penerbangan yang kini berdepan pelbagai cabaran operasi.

Dalam masa yang sama, beliau menggesa pihak berkuasa berkaitan menyiasat punca sebenar peningkatan gangguan penerbangan yang berlaku kebelakangan ini, termasuk kemungkinan faktor kos operasi susulan kenaikan harga minyak dunia.

Beliau turut melahirkan kebimbangan bahawa gangguan penerbangan berterusan boleh memberi kesan kepada sektor pelancongan Sarawak yang kini giat menganjurkan pelbagai acara berskala besar termasuk Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF), persidangan antarabangsa dan festival pelancongan yang lain.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU