ARTIKEL

Profesor Dr Novel Lyndon

Kelewatan persempadanan jejas 17 kerusi baharu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengemukakan garis masa yang jelas dan telus berhubung proses persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak bagi mengelakkan ketidaktentuan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Penganalisis Sosiologi Politik Sarawak, Profesor Dr Novel Lyndon berkata, ketelusan mengenai status sebenar proses persempadanan penting untuk meningkatkan keyakinan awam terhadap kebebasan institusi tersebut, selain membolehkan semua pihak memahami perkembangan semasa.

“Selain menetapkan garis masa yang jelas, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak juga perlu memperkukuh kerjasama institusi bagi mempercepat penyediaan data teknikal, demografi dan pentadbiran yang diperlukan SPR tanpa menjejaskan kebebasan suruhanjaya itu membuat keputusan.

“Proses konsultasi awam juga perlu diperkasakan supaya komuniti tempatan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, benar-benar diberi ruang mengemukakan pandangan memandangkan kawasan tersebut mempunyai cabaran geografi yang unik,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.

Menurut beliau, sebarang keputusan persempadanan hendaklah berpandukan prinsip perwakilan yang adil dengan mengambil kira bukan sahaja jumlah penduduk, malah keluasan kawasan, tahap aksesibiliti, kepelbagaian etnik dan hubungan sosial komuniti seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas kemungkinan penggunaan 17 kerusi baharu pada PRN akan datang, beliau berkata dari sudut perundangan ruang itu masih wujud, namun peluangnya semakin mengecil kerana proses persempadanan perlu melalui beberapa peringkat.

“Ini termasuk penyediaan cadangan, pameran awam, pendengaran bantahan, penyediaan laporan akhir, kelulusan berkaitan dan pewartaan. Sekiranya mana-mana peringkat ini tidak dapat diselesaikan sebelum pembubaran DUN, secara praktikalnya PRN perlu dijalankan menggunakan persempadanan sedia ada.

“Ini bukan semata-mata isu politik, tetapi juga melibatkan kepastian undang-undang serta integriti proses pilihan raya,” ujarnya.

Justeru, walaupun secara teori masih ada kemungkinan, dari sudut pentadbiran pilihan raya, peluang menggunakan 17 kerusi baharu semakin tipis sekiranya kelewatan berterusan.

Beliau berkata, reformasi persempadanan tidak seharusnya dilihat sebagai proses teknikal semata-mata, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada agenda memperkukuh federalisme Malaysia, termasuk menterjemahkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melalui sistem perwakilan yang lebih inklusif dan seimbang.

Pada Khamis, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengakui kelewatan proses persempadanan semula memberi implikasi besar sehingga tambahan 17 kerusi DUN Sarawak berkemungkinan tidak dapat digunakan pada pilihan raya negeri akan datang.

Beliau berkata, keadaan itu sekali gus menjejaskan hasrat kerajaan Sarawak menjadikan 99 kerusi DUN sebagai asas untuk menuntut pertambahan kerusi Parlimen pada masa depan, khususnya bagi mengembalikan nisbah satu pertiga kerusi Dewan Rakyat untuk Sabah dan Sarawak.

TAMAT

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU