KUCHING: Penangguhan proses persempadanan semula kawasan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bukan sekadar isu teknikal, malah boleh dilihat sebagai kelewatan dalam memenuhi hak demokrasi Sabah dan Sarawak yang terkandung dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Penganalisis Politik Dr Lee Kuok Tiung berkata, kelewatan itu memberi implikasi lebih besar kerana proses persempadanan merupakan hak yang diperuntukkan di bawah Perkara 113(2) dan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, kali terakhir persempadanan semula di Sarawak dilaksanakan pada 2015, justeru penangguhan berterusan boleh dianggap menjejaskan hak demokrasi negeri ini untuk mendapat jumlah perwakilan yang lebih adil selaras dengan perubahan demografi dan pembangunan semasa.
“Kali terakhir Sarawak melakukan persempadanan semula adalah pada 2015, sedangkan berdasarkan Perkara 113(2) dan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, syarat serta tempohnya ialah lapan tahun,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengenai kelewatan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memuktamadkan proses persempadanan semula DUN Sarawak bukan sahaja menjejaskan penggunaan 17 kerusi baharu pada PRN, malah memberi implikasi agenda jangka panjang Sabah dan Sarawak untuk menambah kerusi Parlimen.
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu menambah, berdasarkan prosedur semasa, cadangan penambahan 17 kerusi DUN Sarawak hampir pasti tidak sempat dilaksanakan pada PRN akan datang kerana proses persempadanan masih perlu melalui beberapa peringkat sebelum boleh dikuatkuasakan.
“Proses tersebut termasuk pameran awam selama 30 hari bagi mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan seperti kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), parti politik dan penduduk di kawasan yang terlibat.
“Selepas tempoh pameran SPR perlu meneliti semua maklum balas, mengadakan sesi libat urus, melakukan penambahbaikan termasuk jika terdapat cadangan nama atau sempadan kawasan baharu sebelum memuktamadkan laporan akhir.
“Selepas itu, cadangan tersebut perlu dibentangkan di Dewan Rakyat dan mendapat sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen kerana ia melibatkan pertambahan kerusi. Pendek kata, proses ini sama seperti meluluskan sesuatu Rang Undang-Undang (RUU),” jelasnya.
Ujarnya, penambahan kerusi DUN amat penting memandangkan keluasan geografi Sarawak yang sangat besar, terutama bagi meningkatkan perwakilan rakyat di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Beliau turut menegaskan isu penambahan kerusi Parlimen lebih signifikan kerana ia berkait rapat dengan kedudukan politik Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan kerana pindaan Perlembagaan atau rang undang-undang memerlukan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.
“Jika bilangan Ahli Parlimen dari Semenanjung Malaysia melebihi dua pertiga daripada keseluruhan Dewan Rakyat, mereka secara teorinya mempunyai keupayaan meluluskan pindaan tertentu tanpa memerlukan sokongan daripada Sabah dan Sarawak.
“Sebab itu usaha menambah kerusi Parlimen amat penting bagi memastikan semangat MA63 dan keseimbangan perwakilan antara wilayah terus dipelihara,” katanya.



