Kelindan mati, lori langgar bas sekolah

SIMUNJAN: Seorang kelindan lori maut manakala seorang lagi patah kaki kanan dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dengan sebuah bas sekolah di tepi jalan berhampiran Kampung Jirok, Jalan Serian-Sri Aman awal pagi tadi.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, kejadian sekitar 5.53 pagi itu berlaku ketika lori yang membawa muatan baja kimia seberat lebih kurang 24 tan dalam perjalanan ke Pantu, Sri Aman.

Katanya siasatan awal mendapati lori berkenaan cuba memotong sebuah bas sekolah yang berhenti di tepi jalan berhampiran Kampung Jirok, Simunjan untuk mengambil lapan orang pelajar SMK Balai Ringin.

“Pemandu lori telah memberi lampu isyarat memotong tetapi mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda cuba memotong dari belakang dengan laju dan memberi lampu tinggi.

“Pemandu lori yang terkejut dengan tindakan pacuan empat roda itu telah cuba mengelak dari berlaku perlanggaran dengan mengelak ke bahagian kiri jalan lalu berlanggar dengan belakang bas sekolah yang masih berhenti di jalan raya.

“Akibat perlanggaran itu, seorang kelindan lori yang duduk di bahagian pintu penumpang sebelah kiri dan seorang lagi yang duduk di bahagian tengah telah tersepit antara hadapan lori dan belakang bas sekolah yang remuk teruk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson berkata pemandu lori terbabit, yang berusia 21 tahun dapat keluar dari kenderaan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Manakala kelindan yang juga berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Serian sekitar jam 11.22 pagi akibat kecederaan parah dalaman.

Mangsa yang patah kaki berusia 41 tahun telah dibawa ke Hospital Serian untuk rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

Lapan pelajar terdiri daripada tiga lelaki dan lima perempuan yang berusia 13 hingga 17 tahun yang berada di dalam bas sekolah terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Alexson berkata semasa kejadian, keadaan sekeliling adalah gelap kerana tiada lampu jalan dan kering, di mana laluan jalan adalah lurus dan sehala.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.