ARTIKEL

Keluarga bersatu, kenangan terukir

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

HARI Keluarga Dayang dan Sujang 2025 berjaya menghimpunkan lebih 200 ahli keluarga dalam majlis penuh kemesraan dan semangat kekeluargaan yang berlangsung di Dewan Masyarakat Kampung Muara Tebas pada 31 Disember lalu.

Program yang dianjurkan secara dwitahunan itu menjadi wadah penting menyatukan keturunan besar Dayang dan Sujang, sekali gus mengukuhkan hubungan silaturahim yang merentasi generasi.

Ahli keluarga yang hadir memeriahkan acara tersebut, menandakan komitmen dan kesungguhan keluarga besar ini untuk mengekalkan hubungan kekeluargaan walaupun ramai membawa haluan masingmasing dan menetap di pelbagai lokasi.

Kehadiran yang menggalakkan itu turut menggambarkan kerinduan mereka untuk berkumpul, berkongsi cerita dan merakam kenangan baharu bersama-sama.

Wakil keluarga, Jabni Sujang menegaskan kekeluargaan ialah asas keteguhan sesebuah masyarakat.

“Keluarga ibarat sebuah bangunan yang teguh, setiap ahli menjadi batu bata yang menyokongnya.

“Kasih sayang, toleransi dan saling memahami pula menjadi simen yang mengikatnya,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Katanya, perhimpunan seperti ini bukan sahaja ruang untuk bergembira, malah peluang untuk mendekatkan diri antara satu sama lain melalui perbualan, gelak ketawa dan pelbagai aktiviti yang dijalankan.

“Namun, dalam kegembiraan kita berhimpun, janganlah kita lupa akan insan-insan tersayang yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.

“Hari Keluarga ini merupakan peluang untuk kita melupakan seketika kesibukan dunia dan kembali menjadi ‘satu unit’ keluarga yang utuh, seperti ujar pujangga, ‘Rumahku, Syurgaku’,” katanya.

Beliau berharap majlis sedemikian akan terus menyemai nilai murni, mempererat hubungan dan mewariskan semangat kekeluargaan kepada generasi muda.

Dalam pada itu, Jabni turut mengingatkan agar kemajuan teknologi tidak dibiarkan menghakis adab serta nilai kekeluargaan yang menjadi tunjang masyarakat sejak dahulu.

Majlis yang bermula pada jam 2.00 petang itu dimulakan dengan solat Asar secara berjemaah, disusuli dengan majlis tahlil untuk mendoakan kesejahteraan roh ahli keluarga Dayang dan Sujang yang meninggal dunia.

Suasana penuh kesyahduan itu mengingatkan semua tentang pentingnya menghargai mereka yang telah pergi sambil memperkukuh hubungan sesama yang masih ada. Pada masa yang sama, majlis diteruskan dengan sukaneka kanak-kanak serta aktiviti barbeku yang menyeronokkan.

Namun, perlawanan persahabatan bola sepak antara Dayang FC dengan Camutes FC terpaksa dibatalkan berikutan hujan lebat.

Sementara itu, seluruh ahli keluarga turut menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah, diiringi dengan bacaan doa dan tazkirah bertajuk “Perkahwinan” oleh Ustaz Mohamad Faizal Jamil.

Seterusnya, acara kemuncak berupa upacara memotong kek sambutan keluarga, diikuti sesi bergambar dan tayangan video khas yang memaparkan nostalgia, gambar lama dan perjalanan keluarga selama beberapa dekad.

Turut diadakan cabutan bertuah yang sentiasa dinantinantikan, terutama oleh kanakkanak dan remaja. Suasana riuh dan ceria memenuhi dewan apabila nama bertuah diumumkan, menyemarakkan lagi kenangan manis semua yang hadir.

Majlis diakhiri dengan sambutan detik-detik ambang tahun baharu 2026 yang diraikan tepat jam 12.00 malam, menyemarakkan suasana penuh kegembiraan.

Hari Keluarga Dayang dan Sujang 2025 menjadi perhimpunan bermakna yang bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan, tetapi juga menyuburkan rasa kebersamaan yang kian pudar akibat kesibukan hidup dan pengaruh teknologi.

Tradisi penganjuran secara dwitahunan ini diharapkan terus diperkasa agar generasi akan datang dapat memahami dan menghargai erti sebenar keluarga yang bersatu, harmoni dan saling menyokong dalam apa jua keadaan.

BERITA LAIN

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU