KOTA SAMARAHAN: Mereka bukanlah individu yang berdiri di atas pentas menerima sijil, namun merekalah yang paling setia menanti di luar dewan, menempuh perjalanan ratusan kilometer, bersabar dalam penantian dan menyimpan harapan untuk melihat anak serta cucu melangkah keluar sebagai graduan.
Itulah keluarga, insan yang mungkin tidak menerima sijil atau tidak disebut namanya di atas pentas, tetapi pengorbanan, doa dan kesetiaan mereka menjadi sebahagian daripada kejayaan yang diraikan.
Ketika berada di ruang menunggu khas, Suara Sarawak mendapati keterujaan dan kegembiraan jelas terpancar pada wajah ahli keluarga yang hadir bagi menyaksikan kejayaan anak dan cucu masing-masing pada Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) Zon Sarawak di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini, hari ini.

Ada ibu bapa yang sanggup menempuh perjalanan ratusan kilometer.
Malah, seorang nenek turut sabar menanti cucunya keluar membawa sijil selepas selesai istiadat.
Ketika menunggu, mereka berkumpul di ruang khas yang disediakan.

Ada antara mereka yang mengisi masa dengan menikmati makanan, manakala yang lain merakam gambar kenangan dan swafoto.
Berkongsi kegembiraan dengan Suara Sarawak, Abang Dzino Abang Halill berkata perjalanan sejauh kira-kira 360 kilometer dari Bintangor, Sarikei, ke Kota Samarahan sangat mengujakan kerana mereka mahu meraikan kejayaan anak sulungnya yang berjaya menamatkan pengajian.
Katanya, mereka bertolak pada Jumaat lalu dan memandu secara santai selama kira-kira empat jam untuk tiba di Kota Samarahan.

“Hari ini kami datang sekeluarga untuk meraikan konvokesyen anak pertama saya dan bersyukur dia dapat menamatkan pengajian.
“Saya sebagai bapa sudah pasti bangga dengan pencapaiannya ini dan berharap agar anak saya mempunyai masa hadapan yang cerah serta dapat menjadi contoh kepada dua adiknya,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak, hari ini.
Anaknya, Abang Dzulhafizam yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal Automotif memberitahu bahawa dia sangat gembira kerana ahli keluarganya sanggup datang bersama-sama untuk meraikan hari yang bermakna itu.
“Hari ini kami sekeluarga, satu keluarga datang untuk berkongsi kegembiraan. Bukan sahaja ibu bapa dan adik-adik saya malah, ibu saudara saya dari Kuching juga datang bersama-sama. Semua datang, untuk berkumpul,” ujarnya.
Sementara itu, Nganyed Janggui dari Kampung Emperoh Jambu, Padawan, memberitahu bahawa dia datang bersama-sama ahli keluarganya untuk meraikan cucunya, Valentina Mildred Vincent yang turut bergraduasi hari ini.
Menurutnya, Valentina merupakan cucu kedua yang berjaya menamatkan pengajian dan dia berharap cucunya itu terus meraih kejayaan pada masa akan datang.
“Kami sekeluarga datang, termasuk suami saya, anak, menantu serta cucu saya, kakak dan adik kepada Velentina.
“Dia juga merupakan cucu kedua yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang kemahiran selepas kakaknya dahulu. Saya datang juga untuk berkongsi kegembiraan dan menghargai kejayaannya bersama-sama,” jelasnya.
Viviana Vinnie Vincent, kakak kepada Valentina, pula memberitahu bahawa mereka sekeluarga teruja untuk hadir ke UNIMAS bagi meraikan hari bersejarah berkenaan.
“Kami sekeluarga bangun awal, sekitar 5 pagi untuk bersiap dan bertolak kira-kira pukul 7 pagi sebelum tiba di sini sekitar pukul 8 lebih.
“Kami datang dari Kampung Emperoh Jambu, Padawan kerana mengaambil nenek dan datuk untuk sama-sama hadir ke sini,” katanya.
Menurut Viviana, dia bersama-sama dua adiknya memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang kemahiran kerana peluang yang ditawarkan institusi tersebut.
“Bagi saya, keputusan yang kurang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan penghalang untuk kita terus maju, tetapi peluang menambah ilmu sangat penting.
“Kami tiga beradik, memang memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang kemahiran kerana tidak mahu melepaskan peluang yang ada dan Valentina kini juga sedang menyambung pengajian ke peringkar diploma,” ujarnya lagi.



