JULAU: Penguasaan pelbagai bahasa terutama Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina dilihat sebagai antara aset penting dalam memperkukuh daya saing masyarakat dalam dunia global masa kini, kata Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien.
Beliau berkata, kedua-dua bahasa tersebut kini menjadi medium utama dalam perdagangan antarabangsa khususnya melibatkan sektor import dan eksport. Justeru, generasi muda perlu digalakkan menguasainya selain Bahasa Melayu dan bahasa ibunda.
Perkara itu diketengahkan Larry yang juga Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) ketika menghadiri program bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di SJK (C) Su Dok minggu lepas.
“Dalam dunia global hari ini, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina merupakan bahasa yang paling banyak digunakan terutama dalam bidang perdagangan dan ekonomi antarabangsa.
“Penguasaan bahasa tambahan memberi kelebihan besar kepada individu dalam pelbagai aspek kehidupan,” katanya.

Beliau menegaskan, majikan pada masa kini amat menghargai individu yang mampu berkomunikasi dalam pelbagai bahasa kerana ia memudahkan urusan dengan pelanggan, rakan niaga dan masyarakat antarabangsa.
Tambah beliau, kemahiran bahasa juga membuka peluang kerjaya lebih luas terutama dalam bidang pelancongan, pendidikan, diplomasi, media dan perniagaan yang semakin memerlukan kebolehan komunikasi rentas budaya.
Selain itu, katanya, penguasaan pelbagai bahasa mampu mengeratkan hubungan sosial serta membantu seseorang memahami budaya dan cara hidup masyarakat lain dengan lebih mendalam.

“Bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi turut membawa nilai, adat resam dan identiti sesuatu bangsa. Apabila kita mempelajari bahasa lain, kita juga dapat memahami budaya mereka dengan lebih dekat dan mengelakkan salah faham budaya,” jelasnya lagi.
Larry Sng turut berkata kajian menunjukkan individu yang menguasai lebih daripada satu bahasa lazimnya lebih kreatif, cekap menyelesaikan masalah dan memiliki daya ingatan yang lebih baik kerana sentiasa aktif menyesuaikan penggunaan bahasa.
Beliau turut menekankan bahawa kemahiran berbilang bahasa dapat meningkatkan keyakinan diri ketika berurusan dalam situasi rasmi mahupun sosial selain memudahkan akses kepada ilmu pengetahuan global.
“Banyak buku, jurnal dan sumber ilmu di dunia diterbitkan dalam pelbagai bahasa. Dengan menguasai lebih banyak bahasa, seseorang dapat mengakses maklumat secara terus daripada sumber asal tanpa terlalu bergantung kepada terjemahan,” ujarnya.
Beliau berharap ibu bapa dan pihak sekolah terus memainkan peranan dalam menggalakkan generasi muda mempelajari pelbagai bahasa demi masa depan yang lebih cemerlang dan berdaya saing.



