KUCHING: Program Kenderaan Elektrik Hibrid dan Pemerhatian Latihan Kemahiran Belia berpotensi melonjakkan bilangan tenaga mahir dalam kalangan belia Sarawak yang bakal menjadi pemacu utama industri hijau negara.
Senator Datuk Ahmad Ibrahim berkata, program anjuran Quick Skill Sdn Bhd ini merupakan satu inisiatif latihan teknikal yang memberi fokus kepada bidang automotif hibrid dan elektrik, sejajar dengan perkembangan pesat industri kenderaan elektrik (EV) di peringkat global.
“Kemahiran dalam teknologi EV bukan lagi satu kelebihan, tetapi satu keperluan masa depan, khususnya bagi anak-anak muda Sarawak.
“Kita bukan sekadar melatih mekanik, kita sedang membina inovator, dan kita juga bukan hanya melahirkan pekerja, sebaliknya kita sedang membentuk tenaga mahir,” katanya ketika berucap dalam Program Kenderaan Elektrik Hibrid dan Pemerhatian Latihan Kemahiran Belia anjuran Quick Skill Sdn Bhd, di Euroauto Garage Sdn Bhd, di sini, hari ini.
Beliau turut menyeru agar sektor awam dan swasta memperkukuh kerjasama dalam membangunkan lebih banyak program seumpama ini yang mampu melahirkan bakat tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja luar.
“Komitmen saya di Dewan Negara untuk menyokong dasar-dasar yang memperluaskan peluang latihan teknikal kepada golongan belia, termasuk mencadangkan insentif tambahan kepada syarikat yang komited dalam pembangunan kemahiran tenaga muda,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Quick Skill Sdn Bhd, M Janartan Mazhubalan mengalu-alukan sokongan padu daripada pemimpin Sarawak dan menyatakan hasrat syarikat untuk terus memainkan peranan dalam melatih lebih ramai tenaga mahir Sarawak yang bersedia menghadapi cabaran industri masa depan.
Program ini diharap menjadi model kepada latihan teknikal berimpak tinggi yang boleh diperluaskan ke seluruh negeri Sarawak dan rantau Borneo.
Dalam pada itu, majlis turut disertai oleh wakil-wakil industri, jurulatih teknikal dan peserta belia dari pelbagai latar belakang yang kini menjalani latihan secara praktikal dalam bidang EV dan hibrid di bengkel latihan khas.





