KUCHING: Program Rakan Litar – Moto Cub Track Day 2026 yang berlangsung di perkarangan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak semalam menekankan aspek keselamatan, disiplin dan pengendalian motosikal secara betul dalam kalangan komuniti permotoran menerusi pendekatan latihan terkawal.
Presiden Kelab Sukan Permotoran D1 (D1MC), Azmin Ramlie berkata, program itu menjadi platform untuk menyalurkan minat terhadap dunia permotoran melalui saluran yang lebih selamat, tersusun dan bertanggungjawab.

“Program seperti ini penting kerana kemahiran menunggang bukan sekadar mengenai kelajuan, sebaliknya melibatkan kawalan jentera dan kemampuan membuat keputusan dengan selamat,” katanya kepada Suara Sarawak semalam.
Program berkenaan dilaksanakan dengan penyertaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Rakan Muda, Rakan Litar, Persatuan Sukan Permotoran Negeri Sarawak (SMA) serta D1MC.

Sepanjang program, peserta mengikuti beberapa acara bermula dengan pendaftaran pada 9 pagi, diikuti pengenalan undang-undang sukan bermotor, asas teknikal litar, tunggangan defensif dan latihan praktikal.
Azmin berkata, pendedahan tersebut penting bagi membentuk pemahaman bahawa aktiviti permotoran perlu dilaksanakan dalam persekitaran yang terkawal dan mengikut prosedur keselamatan.

“Kita mahu peserta mendapat pengetahuan yang boleh digunakan ketika menunggang, termasuk bagaimana mengawal motosikal dengan lebih baik dan memahami risiko yang ada.
“Pada masa sama, disiplin yang dipelajari dalam program seperti ini juga boleh membantu mereka menjadi penunggang yang lebih bertanggungjawab di jalan raya,” katanya.

Menurutnya, penyertaan D1MC dalam program seumpama itu sebahagian daripada komitmen kelab untuk membantu membangunkan ekosistem sukan permotoran yang lebih tersusun di Sarawak.
Katanya, ruang latihan dan pendedahan yang betul amat penting terutama kepada golongan muda serta peminat permotoran yang mahu mendalami sukan berkenaan.
“Bagi D1MC, kita mahu membantu menyediakan laluan kepada mereka yang berminat supaya dapat mendekati aktiviti permotoran melalui cara yang betul.
“Daripada situ juga kita boleh melihat potensi peserta yang mungkin boleh dibimbing lebih jauh dalam sukan permotoran pada masa akan datang,” katanya.
Azmin turut menyifatkan kerjasama bersama SMA sebagai penting dalam memperkukuh usaha membudayakan aktiviti permotoran secara profesional dan bertanggungjawab.
Beliau berkata, kerjasama antara persatuan, kelab dan agensi berkaitan boleh membantu melahirkan komuniti yang lebih berilmu, berkemahiran dan memahami aspek keselamatan.
“Kerjasama dengan SMA sangat penting kerana kita bukan sahaja mahu menganjurkan aktiviti, tetapi mahu memastikan pembangunan sukan permotoran dilakukan dengan struktur dan disiplin yang betul.
“Harapan kita supaya lebih ramai bakat baharu dapat dikenal pasti dan pada masa sama keselamatan sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Azmin turut merakam penghargaan kepada KBS, Rakan Muda, Rakan Litar, SMA, semua petugas, jurulatih serta peserta yang menjayakan program berkenaan.
“Kita berharap usaha seperti ini dapat diteruskan dan menjadi pemangkin kepada pembentukan komuniti permotoran Sarawak yang lebih berilmu, berkemahiran, berdisiplin serta sentiasa mengutamakan keselamatan,” katanya.
Fasilitator dan marsyal daripada SMA serta D1MC mengendalikan sesi berkenaan bagi memastikan latihan dilaksanakan dalam persekitaran yang terkawal.
Sesi praktikal diketuai Ketua Marsyal, Bronnie Marshall daripada SMA dengan dibantu marsyal D1MC iaitu Azmin Ramlie, Ridhwan Shah Busrah dan Syahidan Samsudin.
Majlis penutupan dan penyampaian sijil kepada sekitar 30 peserta disempurnakan oleh Presiden SMA, Datuk Ahmad Ibrahim.



